Sekali lagi umat Islam seluruh dunia menyambut hari raya Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan kesederhanaan. Hari ini adalah simbol kejayaan umat Islam yang berjaya melalui ujian rohani selama sebulan demi mencapai darjat taqwa.
Sepanjang tempoh bulan Ramadan, umat Islam dilatih untuk mengawal diri dengan pelbagai latihan diri yang mencabar. Lapar dan dahaga menjadi medan latihan kesabaran, manakala ibadah seperti solat malam dan bacaan al-Quran menghidupkan jiwa yang lesu. Semua ini membentuk satu kesedaran bahawa kehidupan seorang Muslim dipandu oleh perintah Allah.
Ramadan juga menegaskan secara mendalam konsep ubudiyyah dalam diri umat Islam yang merujuk kepada penghambaan total kepada Allah yang meliputi aspek zahir dan batin. Maka apabila Aidilfitri tiba ia adalah kemuncak terhadap kejayaan proses tarbiah ini. Ia adalah “hari kembalinya fitrah”, iaitu keadaan asal manusia yang tunduk kepada Allah.
Namun dalam realiti hari ini, makna Aidilfitri semakin berhadapan dengan cabaran identiti. Ia mula dilihat sebagai sekadar perayaan budaya atau festival sosial yang tidak jauh bezanya dengan sambutan perayaan- perayaan lain. Fokus beralih kepada aspek luaran seperti fesyen, makanan, dan hiburan, sehingga nilai penghambaan yang menjadi terasnya semakin terpinggir. Apabila perkara ini berlaku, Aidil Fitri berisiko kehilangan ruhnya dan menjadi rutin tahunan tanpa makna yang mendalam.
Fenomena ini boleh dianalisis melalui perspektif sosial sebagai proses “sekularisasi lembut” (soft secularisation), di mana agama tidak ditolak secara langsung tetapi maknanya diubah secara beransur-ansur tanpa sedar.
Islam mengiktiraf kewujudan masyarakat majmuk dan menggalakkan interaksi yang harmoni. Namun, dalam masa yang sama, Islam menegaskan kepentingan memelihara identiti aqidah:
“Untuk kamu agama kamu, dan untukku agamaku.” (al-Kafirun: 6)
Dalam konteks sambutan hari raya Aidilfitri, umat Islam mesti menyambutnya sebagai satu bentuk ibadah yang berakar daripada ketaatan kepada Allah. Nilai syariat hendaklah kekal menjadi panduan dalam setiap bentuk sambutan, agar kegembiraan tetap berada dalam kerangka iman dan disiplin yang ditetapkan oleh Islam.
Pada masa yang sama, makna sebenar Aidilfitri perlu dijelaskan dengan tegas dan berterusan kepada generasi akan datang, supaya mereka memahami bahawa hari raya ini adalah lambang penghambaan dan tidak hanya sambutan budaya semata-mata. Jika kejelasan ini diabaikan, kekeliruan identiti akan mula berakar dan akhirnya melemahkan kekuatan serta arah tuju ummah itu sendiri.
Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin
Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat
Presiden ISMA


