TINDAKAN AHLI PERNIAGAAN TIDAK MAHU GUNA TULISAN JAWI PADA PREMIS, CABAR TITAH SULTAN

Oleh : Shuhaimi Shaedon

KUANTAN, 17 Feb – Tindakan tiga orang ahli perniagaan di Kuantan iaitu Jehan Abdulla, Phang Long Yen dan A Dana Palan memfailkan satu permohonan semakan kehakiman terhadap Majlis Perbandaran Kuantan dan kerajaan negeri Pahang bagi membatalkan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda di kedai mereka seolah-olah mencabar serta derhaka pada titah Sultan Pahang.

Menurut Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kuantan, Ustaz Norman Mohd Nor, tindakan ahli perniagaan itu juga dilihat telah mencabar orang-orang Melayu dan Islam.

“Hak dan kedudukan tulisan Jawi sepatutnya dihormati dan bukan dijadikan bahan permainan politik sesetengah pihak.

“Tentangan sebegini kerap berlaku akhir-akhir ini kerana situasi kepimpinan negara pada ketika ini yang agak memberi kelonggaran kepada beberapa perkara berkaitan Melayu dan Islam khususnya,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, Isma kuantan berharap kerajaan negeri Pahang dan pihak berkuasa tempatan dapat melakukan usaha yang terbaik bagi menghalang usaha pihak tersebut dari menggagalkan pemerkasaan tulisan Jawi di negeri ini.

Tulisan Jawi merupakan warisan Melayu Islam Pahang yang merupakan negeri terawal kedatangan Islam dengan bukti penemuan batu nisan di Kg. Permatang Pasir, Pekan bertarikh 1208 M berbanding penemuan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 M.

Terdahulu pada 13 November lepas, Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah telah bertitah mengenai penguatkuasaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan di semua premis perniagaan di negeri Pahang pada 1 Januari 2020 bagi memartabatkan semula tulisan yang semakin terpinggir ini.

Scroll to Top