Tips Menghadapi COVID-19

Pandemik Covid-19 tidak harus dihukum sebagai musibah atau bala sebaliknya ia adalah ujian besar daripada Allah SWT yang mahukan manusia lebih berfikir.

Apa itu ujian? Ujian adalah apa sahaja yang kita lalui dalam kehidupan kita di dunia ini tak kira baik ataupun buruk. Nikmat atau musibah, kedua-duanya adalah ujian dari Allah.

Allah telah berfirman dalam surah al-ankabut ayat 2:

َحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن یُتۡرَكُوۤا۟ أَن یَقُولُوۤا۟ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا یُفۡتَنُونَ

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Allah juga berfirman dalam surah al-Mulk ayat 2;

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”

Sa’ad bin Abi Waqqas pernah ditanya seseorang, siapakah yang paling berat cubaannya? beliau menjawab Rasulullah saw pernah bersabda, “orang yang paling berat cubaannya adalah para Nabi, kemudian diikuti orang di bawah mereka secara berturut. Seseorang hamba akan mendapat cubaan sesuai dengan kadar imannya. Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah, maka cubaan yang menimpanya juga sesuai dengan kadar imannya. Cubaan akan terus menimpa seseorang hamba, sehinggalah ia berjalan di muka bumi tanpa memiliki sebarang dosa lagi.”

Dalam situasi pendamik covid-19 yang berlaku sejak setahun yang lalu, pelbagai bentuk ujian yang menimpa kita seperti diberhentikan kerja, bekerja dari rumah, belajar secara online dan sebagainya. mungkin ada yang masih tidak dapat menerima situasi ini walaupun pandemik ini telah setahun berlaku.

Beberapa tips yang boleh dipraktiskan dalam menghadapi ujian ini;

1. Cuba fahami ujian ini dan sentiasa fikirkan bahawa ujian ini adalah ekspresi cinta Allah pada hambaNya dan di dalamnya terdapat banyak lubuk pahala.

2. Sentiasa merasai bahawa ujian Allah ini sebagai penghapus dosa-dosa kita yang telah lalu.

3. Selalu berfikiran positif bahawa setiap yang kita lalui pasti ada kebaikan dan yakinlah setiap kesusahan yang datang akan ada kesenangan akhirnya.

4. Sentiasa optimistik bahawa kita boleh menyelesaikan setiap ujian hidup yang Allah berikan kerana Allah tidak akan memberikan ujian hidup di luar kemampuan hambaNya.

5.Setiap ujian di dunia ini hadir dengan solusi. Tidak ada ujian yang kekal di dunia ini.

6. Hadapi ujian hidup dengan usaha dan doa. Jangan pernah mengalah dengan ujian yang menimpa.

Justeru, kita kena sentiasa fikirkan bahawa Allah bersama hamba-hambaNya yang bersabar. Perbanyakkan doa agar dipermudahkan segala urusan dan tidak berputus asa dalam mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah.

Allah menegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 186 supaya kita sebagai hambaNya kena sentiasa memohon pertolongan dari Allah;

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِي وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”

wallahu’alam

Ustazah Natrah Md Nazir

Ketua Biro Komunikasi, Koprat dan Multimedia

Isma Cawangan Port Dickson

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat