Turki Uthmaniyah dan Alam Melayu

Daulah Turki Uthmaniyah bermula pada tahun 1299M oleh pengasasnya Osman Gazi Khan dan Osman I El-Gazi (1258-1324M). Era kerajaan Turki Uthmaniyyah berkembang dengan pesat apabila Kota Konstantinopal berjaya ditakluk oleh Sultan Muhammad Al-Fateh pada tahun (1432-1481M). Penaklukan Konstantinopal ini amat bermakna dalam sejarah dunia Islam khususnya kerana baginda Nabi Muhammad saw sendiri menyatakan bahawa sesiapa yang menakluki Kota Konstantinopal merupakan tokoh pemimpin yang hebat dan berwibawa.

Sabda Nabi S.A.W:

Maksudnya: Konstantinopal akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera. (Hadis Musnad Ahmad)

Kawasan penaklukan kerajaan Turki Uthamaniyah pada zaman kegemilangannya telah berjaya berkembang dari Turki sehingga ke Afrika Utara, Parsi dan kawasan sekitarnya. Kerana itu, kerajaan Turki Uthmaniyah sangat digeruni oleh musuh Islam dan dipandang tinggi oleh kuasa-kuasa besar yang lain. Namun, kegemilangan daulah ini telah berakhir pada 3 Mac 1924M dibawah pemerintahan Sultan Abdul Hamid II.

Pengkaji-pengkaji sejarah Alam Melayu bersetuju bahawa perkembangan Islam di kepulauan Melayu amat berkait rapat dengan kerajaan Islam Turki Uthmaniyah. Hal ini kerana perkembangan Islam di Alam Melayu telah pun wujud sejak abad ke-7 masihi lagi kerana Alam Melayu telah pun berada di bawah wilayah pemerintahan khalifah atau empayar Islam yang menguasai hampir dua pertiga dunia pada zaman tersebut. Hubungan itu masih kekal dan terus berlangsung sehingga zaman kerajaan Islam Turki Uthmaniyah.

Bukti kedatangan Islam ke Alam Melayu diperkukuhkan dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M dan dengan adanya penempatan orang Islam di Majapahit. Selain itu, bukti kehadiran pedagang Islam di utara Tanah Melayu dan juga dengan pengislaman Raja Pasai pada 1282M mengukuhkan lagi pengembangan Islam ke Alam Melayu dan sekaligus membuktikan Alam Melayu mempunyai kaitan rapat dengan daulah Turki Uthmaniyah.

Kebanyakan kajian juga menunjukkan adanya catatan berkaitan hubungan pemimpin dari Alam Melayu dengan Raja Rom. Raja Rom yang dimaksudkan adalah daulah Turki Uthmaniyah dimana kerajaan Islam ini mempunyai pengaruh dan kuasa besar pada masa tersebut. Bukan sahaja itu malah bukti pengaruh kerajaan Turki Uthmaniyah dalam kalangan masyarakat Alam Melayu banyak dijumpai sekitar tahun 1800M hingga awal 1900M melalui bukti adanya hubungan daulah Turki Uthmaniyah dengan pemimpin Alam Melayu.

Hubungan diplomatik ini dapat dilihat melalui penulisan dalam artikel Brinessan, Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat Tradisi-tradisi Islam di Indonesia menyatakan bahawa Syeikh Muhammad Yusuf Makasar telah hadir ke Istanbul, Turki Uthmaniyah untuk menuntut ilmu dan Sultan Ageng Tirtayasa (1651-1682M), Sultan Kerajaan Banten juga telah menghantar putera beliau untuk menjalinkan hubungan antara kepimpinan dengan Kerajaan Turki Uthmaniyah pada masa itu.

Hubungan diplomatik sebegini juga telah dipereratkan lagi dengan kunjungan Sultan Johor, Sultan Abu Bakar (1876-1909) sebanyak dua (2) kali ke Istanbul pada tahun 1879 dan 1893 dengan mengadakan pertemuan dua hala bersama Sultan Abdul Hamid II. Turki Uthmaniyah juga telah mengurniakan Bintang Kebesaran kepada Sultan Abu Bakar sebagai tanda penghargaan atas hubungan diplomatik yang telah terjalin. Bintang kebesaran ini tersimpan rapi di Muzium Diraja Sultan Abu Bakar. Hubungan-hubunngan diplomatik yang terjalin antara pemimpin di Alam Melayu memperkukuhkan lagi bukti pengaruh Turki Uthmaniyah di Alam Melayu.

Dari segi hasil kesusasteraan pula, pelbagai tulisan kreatif telah dihasilkan oleh sasterawan di Alam Melayu yang mengait rapat seni tulisan mereka dengan peristiwa yang berlaku di Turki Uthmaniyah. Antaranya ialah Hikayat Merongmahawangsa, Hikayat Acheh, Hikayat Perang Setambul, Hikayat Peperangan Al-Maulana Sultan Instanbul, Yang Bernama Abdul Hamid Khan Ibni Almarhum Al-Maulana Abdul Majiid Khan Ghazi dengan Raja Rushin Yang Bernama Francis Alaxendar, HIkayat Hang Tuah, Syair Sultan Abu Bakar dan banyak lagi.

Tidak dapat disangkal bahawa masyarakat Alam Melayu mendapat inspirasi dan memandang tinggi kerajaan Turki Uthmaniyah melalui karya-karya tradisional yang dihasilkan pada ketika itu. Sebagai contoh kisah dalam Hikayat Perang Setambul. Hikayat Perang Setambul mengisahkan peperangan yang berlaku pada tahun 1853M antara Turki Uthmaniyah dan Rusia di bawah pemerintahan Sultan Abdul Hamid I. Peperangan ini meletus apabila penduduk Kristian Rusia di Palestin membuat provokasi dengan mempersendakan umat Islam Palestin yang mengerjakan solat Jumaat.

Peristiwa itu telah menyemarakkan rasa marah umat Islam dan berlakunya pergaduhan besar, rampasan harta, anak dan isteri orang Kristian. Oleh hal yang demikian, masyarakat Rusia di Palestin telah mengadu kepada Raja Rusia. Raja Rusia amat murka dengan perkhabaran tersebut lalu menghantar tentera dan menyerang rakyat Palestin sehingga umat Islam di Palestin ramai terbunuh dan masjid-masjid diruntuhkan. Akhirnya, umat Islam Palestin telah memohon bantuan daripada kerajaan Turki Uthmaniyah dan tentera Turki Uthmaniyah telah memenangi peperangan ini. Gambaran kehebatan tentera Turki Uthamaniyah dalam peristiwa peperangan seperti strategi-strategi perang, bilangan tentera dan kekalahan yang penuh tragis oleh pihak Rusia dicatatkan dengan penuh teliti, jelas dan terperinci oleh penulis.

Hikayat ini menunjukkan betapa penulis di Alam Melayu amat cakna dan mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi dengan apa yang berlaku dalam kerajaan Islam Turki Uthmaniyah pada ketika itu. Tidak kurang juga kesannya kepada akhbar tempatan seperti Akhbar Jajahan Melayu yang menjadi medium menyemai rasa cinta dan semangat perjuangan kepada daulah Turki Uthmaniyah. Ini dapat ditunjukkan apabila Akhbar Jajahan Melayu sendiri telah menulis serangan balas dan mengkritik Eropah yang merendah-rendahkan kelemahan kerajaan Turki Uthmaniyah semasa peperangan dengan Rusia. Hasilnya, penduduk di Alam Melayu pada masa itu sangat terinspirasi, terpaku dengan semangat jihad yang tinggi dan mempunyai pegangan idealogi Pro-Turki yang kuat.

Kesimpulanya, kerajaan Islam Turki Uthmaniyah amat dekat dihati penduduk Alam Melayu sejak beratus tahun dahulu lagi. Kekuatan Alam Melayu sebelum dijajah adalah utuh kerana kelebihan dari segi nilai keagamaannya seperti keimanan yang teguh pada ajaran Islam dan semangat ukhuwah Islamiyah yang tinggi. Maka secara tidak langsung menguatkan fakta bahawa negara Malaysia pada hari ini merupakan negara Islam dari sudut sejarahnya.

Sejarah telah membuktikan juga bahawa kehebatan empayar Islam adalah kerana umatnya yang mempunyai pegangan kuat kepada tali Allah dan kefahaman Islam yang sahih. Apabila pemimpin dan rakyatnya culas dan jauh dengan Islam, lompong-lompong kelemahan akan terbuka lalu membuatkan musuh Islam segera mengambil peluang untuk memusnahkan segala kekuasaan yang kita miliki.

Hebatnya bangsa Arab kerana Islamnya, hebatnya bangsa Melayu juga kerana Islamnya. Tiada istilah negara ini di’arabisasi’kan kerana apa yang kita cuba ikuti hanyalah pegangan yang kuat dalam syariat Islam yang lurus, menyeluruh dan sempurna. Ikuti dan patuhlah arahan Allah swt dari setiap sudut kehidupan kita.

Firman Allah swt:

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (QS. Al Baqarah: 208)

Akhir kalam, sempena kemerdekaan yang ke-63 ini, penulis menyeru kepada semua pembaca untuk;

  1. Merdekakan minda kita daripada jajahan fahaman liberal yang tidak mencerminkan Islam sebenar
  2. Merdekakan diri kita dari terus buta-buta percaya sejarah negara yang disusun oleh penjajah negara. Sejarah kita biar kita yang mencari dan menyusunnya! Ambil inisiatif sendiri untuk menggali sejarah bangsa Melayu dan Islam.

Maka, ayuh! Kembalikan jati diri Melayu dan Islam yang sebenar agar tamadun Islam dapat berdiri semula dengan penuh gemilang.

Rahimah Jurij
Aktivis ISMA Bangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat