KAJANG, 20 September – Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kemerdekaan 2026 bertemakan “Wanita Jiwa Merdeka: Teguh Meneladani Rasulullah SAW telah berlangsung di Surau Al-Hikmah, Kajang Raya.
Program anjuran Muslimat Surau Al-Hikmah dengan kerjasama Wanita ISMA Bangi, NAZIM Bangi dan I-Medik ini menghimpunkan para muslimat dalam pengisian kerohanian dan aktiviti kemasyarakatan.
Program dimulakan dengan Solat Sunat Tasbih yang dipimpin oleh Ustazah Nurul Ain Rusli, diikuti tadabbur Surah al-Ahzab ayat 21 oleh Ustazah Nabiha Marham. Kemudian, ceramah utama oleh Ustazah Dr. Nur Fatin Halil, mengupas makna kemerdekaan dari perspektif Islam, termasuk kemerdekaan jiwa daripada belenggu nafsu, maksiat serta pemikiran yang menyalahi nilai Islam, di samping kepentingan menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan dalam kehidupan.
Para peserta turut diseru untuk membina jati diri Muslimah yang teguh, mempertahankan nilai dan prinsip Islam serta tidak mudah terpengaruh dengan cabaran pemikiran dan budaya semasa.
“Semangat kemerdekaan turut diterjemahkan melalui usaha membebaskan diri daripada perkara yang menjauhkan manusia daripada Allah SWT serta membina kehidupan berasaskan ajaran Islam,” kata Ustazah Dr. Nur Fatin Halil.
Selain pengisian kerohanian, saringan kesihatan percuma oleh I-Medik turut diadakan. Manakala, bagi peserta kanak-kanak terdapat peraduan mewarna bersama-sama NAZIM Bangi.
Penganjuran ini diharapkan dapat menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta mengukuhkan hubungan antara institusi surau dan komuniti setempat.


