SHAH ALAM, 25 Ogos – Lebih 100 orang peserta hadir ke forum Syurga Keluarga Kita (SKK) anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kota Raja di Masjid an-Naim, Jalan Kebun pada pagi semalam.
Forum SKK memfokuskan perbincangan tentang pembinaan generasi Qawwam yang penting untuk pembinaan masyarakat unggul.
Naib Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Shahier Sa’min dalam sesi forum SKK telah menekankan tiga aspek utama pembinaan generasi qawwam, iaitu mengajarkan anak-anak tentang prinsip kebenaran yang sebenar, prinsip tanggungjawab, dan prinsip keadilan atau meletakkan sesuatu pada tempatnya. Beliau juga menyeru para ibu bapa untuk merenung kembali sejarah panjang perjuangan dan ketamadunan bangsa Melayu dan umat Islam terdahulu.
Sementara itu, aktivis Palestin yang juga penceramah Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), hajjah Hashimah Salleh selaku panelis kedua telah menarik perhatian para hadirin berkenaan kisah-kisah realiti perjuangan rakyat Palestin dan Gaza yang pernah diziarahi beliau sekitar tahun 2013. Beliau juga menyeru para ibu bapa yang hadir untuk mencontohi usaha rakyat Palestin melahirkan generasi al-Quran huffaz sebagai salah satu faktor kekuatan dan keteguhan mereka pada hari ini.
Sesi forum diteruskan lagi dengan pengisian daripada Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA, Dr. Siti Sarah Amran sebagai panelis ketiga yang memberi panduan kepada para ibu bapa tentang aspek emosi dalam membantu pembinaan karakter anak-anak zaman kini.
Sementara itu, turut berlangsung program Laman Nazim yang bertemakan Merdeka Anak Muda bersempena Kempen Kemerdekaan ISMA 2024 dengan aktiviti kraftangan pasu bunga merdeka dan juga sesi bercerita perjuangan orang-orang terdahulu bersama ahli kelab NAZIM seramai 40 orang kanak-kanak sekitar Kota Raja.
Akhir sekali, program ini diserikan juga dengan aktiviti cabutan bertuah untuk semua peserta forum Syurga Keluarga Kita dan Laman Nazim.