BANGI, 15 Mac – Wanita gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyokong sepenuhnya hasrat Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga (KWK), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang mahu memperjuangkan polisi pemakaian patuh syariah bagi pramugari beragama Islam.
Ketua Wanita ISMA, Ustazah Dr Suriani Sudi menyifatkan tindakan itu sebagai satu langkah memartabatkan kehormatan dan kemuliaan wanita.
“Islam mewajibkan penganut wanita untuk menutup aurat agar diri lebih terpelihara dan juga untuk menjaga kesejahteraan masyarakat seluruhnya. Bukan setakat memakai tudung akan tetapi mengenakan pakaian yang lebih sopan dan tidak ketat.
“Oleh kerana Malaysia adalah negara yang mempunyai rukun Kesopanan dan Ketatasusilaan sebagai salah satu Rukun Negara, maka berpakaian yang sopan dan sesuai dengan tuntutan masyarakat Islam hendaklah dihormati.
“Ia seterusnya mengukuhkan lagi nilai-nilai Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Ustazah Suriani berkata, pakaian juga merupakan simbol ketamadunan sesuatu kaum atau bangsa.
“Oleh itu, kita haruslah menjaganya agar ketamadunan masyarakat khususnya masyarakat Melayu yang beragama Islam terpelihara,” kata beliau.
Sebelum ini, Siti Zailah berhasrat merealisasikan pelaksanaan polisi pemakaian patuh syariah bagi pramugari.
Katanya, polisi itu hanya termaktub kepada pekerja wanita yang beragama Islam sahaja manakala mereka yang bukan beragama Islam memadai sekadar berpakaian sopan.
“Jadi Insya-Allah dengan kerajaan yang ada ini saya akan membuat kunjung hormat dalam masa terdekat ke pejabat Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan saya yakin perkara ini juga dah ada dalam agenda mereka.
“Sebab kita perlu kepada pindaan undang-undang, terutama Akta Kerja jika melibatkan kakitangan yang bekerja, supaya polisi patuh syariah itu dapat dilaksanakan dalam pentadbiran negara kita. Bagi mereka yang bukan Islam, kita tidak paksa,” katanya.-Ismaweb