KENYATAAN MEDIA PELANCARAN KEMPEN KEMERDEKAAN

KENYATAAN MEDIA

PELANCARAN KEMPEN KEMERDEKAAN

ISMA Tuntut Kerajaan Martabatkan Penggunaan Bahasa Melayu Peringkat Nasional Secara Menyeluruh

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah melancarkan Kempen Bulan Kemerdekaan yang bertemakan “Bahasa Identiti Negara”. Sebahagian daripada perjuangan pembinaan negara Malaysia itu adalah perjuangan memperkukuhkan identiti negara melalui pengukuhan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Kempen yang bermula dari 15 Ogos hingga 16 September 2020 ini mensasarkan beberapa objektif iaitu:

  1. Menonjolkan kisah perjuangan dan pemikiran beberapa tokoh pejuang dalam pembinaan identiti negara Islam dengan memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi;
  2. Mengangkat peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar/bahasa perpaduan;
  3. Membangkitkan semangat patriotik agar setia berjuang untuk kebaikan negara dan umat Islam.

Kempen ini dijalankan dengan misi untuk melahirkan individu dan masyarakat yang mampu bangkit dengan semangat patriotik yang tinggi agar mereka setia berjuang untuk kebaikan negara dan umat Islam.

Bermatlamatkan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terutama bangsa Melayu dan orang Islam di Malaysia berkaitan konsep kenegaraan Islam, sejarah perjuangan Islam di Malaysia dan kepentingan bahasa Melayu sebagai identiti negara Malaysia.

2.Bagi tujuan ini, pelbagai aktiviti dan program telah disusun seperti: Ceramah, forum, Kempen Kembalikan Nama Bukit Melaka, pertandingan menulis anekdot dan puisi, sebaran risalah, terbitan video-video pendek dan berbagai-bagai lagi .

3. Seterusnya, ISMA dengan ini ingin membuat sembilan tuntutan kepada kerajaan Malaysia. Tuntutan ISMA adalah seperti berikut:

  1. Mengembalikan nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.
  2. Mewajibkan kepada warga asing yang memohon kewarganegaraan untuk fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
  3. Penguatkuasaan tegas terhadap nama bangunan, kawasan perumahan, bandar, pengiklanan yang masih menayangkan citra asing.
  4. Menekankan bahasa Melayu di sekolah-sekolah venerkular
  5. Menghormati ‘ketuanan’ tulisan Jawi sebagai satu daripada tulisan bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
  6. Mengekalkan pengajaran mata pelajaran berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Melayu
  7. Pindaan Akta DBP 1959 (Pindaan 1995) perlu dijadikan kenyataan agar DBP memperoleh punca kuasa untuk mengambil tindakan kepada pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan.
  8. DBP perlu dihormati sebagai benteng peradaban negara seperti kata Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, “Negara tanpa bahasa kebangsaan ibarat jasad tanpa roh”.
  9. Mewujudkan rancangan dan filem luar yang telah dialih bahasa Melayu.

4. Saya menyeru semua lapisan masyarakat dan kepimpinan negara, dari pelbagai bangsa dan agama agar menjunjung tinggi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sasterawan Negara Ke-12, Datuk Dr. Baharuddin Zainal (Baha Zain) dalam satu eseinya, Apa Ada Pada Kata-kata pada tahun 2013, beliau menulis begini: “Jika hendak membunuh sesuatu bangsa itu, serang mereka habis-habisan. Jika tidak mampu, bunuhlah bahasanya. Lama kelamaan mereka akan kehilangan wajah dan maruah lalu bertukar menjadi manusia lain.”

Sekian, terima kasih.

 

Hj. Aminuddin Yahaya

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia

20 Ogos 2020

Scroll to Top