Baru-baru ini sekumpulan pengusaha kebun durian di Raub dikatakan menceroboh tanah kerajaan yang mengusahakan tanaman durian secara haram di Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.
Tetapi perkara yang lebih menjengkelkan apabila, ada pihak-pihak tertentu yang cuba ‘mensucikan’ perkara tersebut dengan memperlihatkan mereka sebagai kumpulan yang dianiaya.
Sedangkan sudah jelas nyata bahawa tindakan mengusahakan tanah bukan milik sendiri adalah satu kesalahan yang tidak mungkin dipertikaikan lagi.
Kesepakatan wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Pahang menggesa Kerajaan Negeri supaya tidak mengambil tindakan terhadap pekebun yang mengusahakan tanaman durian secara haram di atas tanah Kerajaan Negeri di Raub baru-baru ini adalah satu tindakan politik yang tidak wajar dan mencabul kedaulatan undang-undang. Yang salah tetap salah, pihak berkuasa mesti bertindak tegas tanpa memilih bulu.
Di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965, mengusahakan Tanah Kerajaan yang masih tiada keputusan/kelulusan adalah menjadi satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM500,000.00 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi satu tahun.
Sebagai rakyat Pahang, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Kuantan menyokong ketegasan pihak Kerajaan Negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang bertindak mengambil alih tanaman durian dan buah-buahan yang diusahakan secara haram.
Bukan kerana soal bangsa, sepatutnya jika betul perlukan tanah buatlah dengan cara yang betul, bukan menanam durian secara haram, tidak membayar cukai tanah, serta menjual buah durian Musang King dengan harga yang sangat tinggi.
Kerajaan negeri juga menganggarkan kerugian cukai tanah sebanyak RM30 juta setahun akibat pencerobohan tanah yang berlaku ini.
Lebih tragis, apabila pihak bertanggungjawab membuat tindakan, para peneroka haram dan dan pembela-pembela mereka memberikan bermacam-macam alasan dan memohon belas kasihan sehingga tidak segan silu meminta ehsan Yang DiPertuan Agong, walhal selama ini mereka tidak pernah ambil peduli terhadap titah yang Tuanku berikan.
Contohnya, di dalam bab penggunaan tulisan jawi, mereka sanggup bersusah payah ke mahkamah untuk memfailkan bantahan terhadap titah Ke Bawah Duli Tuanku. Sungguh ini adalah suatu perbuatan yang tidak bermaruah.
Persoalannya disini adalah apabila para pekebun durian ini dengan berani dan yakin mengusahakan penanaman durian Musang King secara senyap sehingga lebih 20 tahun tanpa mendapat teguran dari mana-mana pihak. Mungkinkah ada pihak tertentu yang memberi jaminan terhadap tindakan mereka.
Apa pun alasannya, kita mendapati ada banyak perkara yang tidak kena sehingga perbuatan menceroboh tanah kerajaan semakin menjadi-jadi. Mengikut laporan akhbar sebelum ini banyak isu pencerobohan tanah yang berlaku seperti lebih 60 hektar tanah rizab 6 kampung musnah diceroboh di Tuaran, Sabah, tanah kerajaan negeri diceroboh dibuat tanah perkuburan, 16 lokasi tanah milik Kementerian Pertahanan dikenalpasti terbabit dengan aktiviti pencerobohan, 40 hektar hutan simpan Berkelah diceroboh dan lain-lain lagi.
Pada hari ini, masyarakat sudah celik dan dengan mudah dapat melihat kepincangan yang banyak berlaku serta sudah pandai menilai perkara yang benar dan salah. Rakyat pada hari ini juga bebas menyampaikan kritikan kepada para pemimpin di media sosial jika ada salah laku yang dilakukan.
Oleh itu kepada para pemimpin dan pihak berkuasa sekalian dinasihatkan menjalankan amanah yang diberikan dengan baik supaya tidak berlaku lagi salah laku di kedua-dua belah pihak.
Ustaz Norman Mohd Nor,
YDP Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kuantan