Malaysia sedang berdepan dengan pelbagai ujian dan konflik di peringkat global yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.
Sebagai contoh, ketegangan yang melibatkan negara seperti Iran, Amerika Syarikat dan Israel, termasuk isu penutupan Selat Hormuz, telah membawa implikasi besar sehingga memaksa negara kita menilai semula beberapa dasar dan polisi penting.
Pada bulan Mac yang lalu, sebahagian kawasan di Malaysia turut dilanda kemarau, sehingga kerajaan menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam penggunaan air dan tenaga, selaras dengan saranan antarabangsa.
Baru-baru ini, di Kampung Bahagia Sandakan pula, telah dilanda kebakaran yang memusnahkan hampir 200 buah rumah atas air.
Kejadian ini menyebabkan ramai mangsa kehilangan tempat tinggal dan harta benda, hingga tinggal sehelai sepinggang.
Pada masa yang sama, umat Islam sedang membuat persiapan untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Haram, dengan penerbangan jemaah berlangsung hampir setiap hari.
Suasana menghantar jemaah haji juga dapat dilihat meriah di seluruh pelosok negeri di Malaysia.
Namun begitu, penganjuran festival air yang berunsur budaya luar di Kuala Lumpur dilihat sebagai satu langkah yang kurang sensitif terhadap realiti semasa umat.
Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam sewajarnya lebih berhati-hati dalam memilih bentuk hiburan agar tidak bercanggah dengan nilai agama serta suasana spiritual yang sedang dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia.
Walaupun terdapat jaminan bahawa festival ini akan dipantau dengan ketat, pengalaman menunjukkan bahawa program seumpama ini sering membuka ruang kepada unsur-unsur yang boleh membawa kepada kemaksiatan, pergaulan bebas dan pengabaian adab.
Budaya yang dibawa juga tidak berakar daripada tradisi tempatan, malah berpotensi menghakis identiti masyarakat.
Lebih membimbangkan, aktiviti ini boleh menormalisasikan perkara yang bertentangan dengan nilai Islam dan budaya setempat seperti yang digariskan dalam visi Malaysia Madani.
Tidak dapat dinafikan, golongan muda merupakan kelompok yang paling terdedah dan berpotensi untuk menyertai festival yang dianjurkan ini.
Persoalannya, tidakkah suasana semasa sudah cukup mencabar sehingga kita perlu menambah lagi unsur yang boleh merosakkan jati diri generasi muda?
Dari sudut kenegaraan, perkara ini wajar dinilai dalam kerangka Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan dan jati diri rakyat.
Prinsip pertama, Kepercayaan kepada Tuhan, menuntut agar setiap penganjuran awam selari dengan nilai keagamaan. Begitu juga prinsip Kesopanan dan Kesusilaan yang menekankan adab serta batas pergaulan dalam masyarakat.
Maka dengan itu, sebarang aktiviti yang berpotensi melanggar prinsip-prinsip ini perlu dinilai semula demi memelihara keharmonian dan maruah negara.
Sebagai seorang Muslim, tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran serta memelihara maruah diri dan masyarakat bukanlah satu pilihan, tetapi suatu kewajipan.
Kita dituntut menilai setiap perkara berdasarkan neraca syariat, bukan sekadar hiburan atau keuntungan ekonomi semata-mata.
Justeru, festival yang dirancang ini wajar dibatalkan dengan segera sebagai usaha mempertahankan nilai, akhlak dan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati.
Marilah kita menghayati pesanan dan nasihat yang telah direkodkan dalam Hadis di bawah ini:
Daripada Zainab binti Jahsy RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم دَخَلَ عليها فزِعًا يقولُ: لا إلَهَ إلَّا اللهُ! ويلٌ للعَرَبِ مِن شَرٍّ قدِ اقتَرَبَ؛ فُتِحَ اليومَ مِن رَدمِ يَأجوجَ ومَأجوجَ مِثلُ هذه. وحَلَّقَ بإصبَعِه الإبهامِ والَّتي تَليها،
قالت زَينَبُ بنتُ جَحشٍ: فقُلتُ: يا رَسولَ اللهِ، أنَهلِكُ وفينا الصَّالِحونَ؟
قال: نَعَم، إذا كَثُرَ الخَبَثُ.
Maksudnya:
“Celakalah orang Arab daripada kejahatan yang semakin hampir. Pada hari ini telah dibuka daripada tembok Yakjuj dan Makjuj sebesar ini…”
Zainab bertanya: “Adakah kita akan binasa sedangkan dalam kalangan kita ada orang-orang soleh?”
Baginda SAW menjawab:
“Ya, apabila banyaknya kemungkaran (kejahatan).”
(Riwayat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim).
Ustaz Muhammad Afif Idris
Ketua Pemuda ISMA Nilai

