AKU DAN ISMA – “Tempat gugok lagi dikenang …”

KAMEK DAN ISMA (SAYA DAN ISMA)

oleh: Afiqah Hani Abdul Rashid

“Tempat gugok lagi dikenang, inikan tempat mulanya tarbiyah”

Aku mula menerima tarbiyah di Bumi Kenyalang apabila tiba untuk mendaftar seorang diri sebagai pelajar di Pusat Pengajian Pra Universiti UNIMAS, Sarawak. Tanpa mengenali sesiapa, diri ini dipenuhi dengan rasa insecure dan overworried sebab menyangka tiada kenalan dari sekolah yang sama (rupanya ada sorang lagi ex-schoolmate). Kebimbanganku juga didasari kerisauan sebagai seorang lepasan pelajar sekolah agama. Risau akan nasib dirinya akan culture shock di tempat baru (kononnya).

“Man cannot discover ocean unless he has the courage to lose sight of the shore”.

BERMULA DENGAN SUATU MESSAGE

Dengan izin Allah, dia menggerakkan hatiku untuk membalas personal message seorang kakak PEMBINA, menyambut kehadiranku. Maka alang-alang menyapa, disyorkan sekali forum Rahsiaku Kini Milikmu untuk pelajar yang baru masuk. Walaupun begitu, dipendekkan cerita, banyak ajakan ke program sambutan pelajar baru beberapa kali aku tolak setelah dipilih sebagai salah seorang Ahli Majlis Tertinggi dalam perwakilan kolej.

Hinggalah satu program rehlah (berjalan-jalan), di situ barulah aku terdetik untuk turut serta. Mana tidak seronoknya, orang bawa bersiar-siar kan? Ketika itu, aku sangat kagum dengan kegigihan kakak-kakak yang sangat baik dan tak pernah penat menyantuni kami sampai ada yang sanggup jadi pemandu van, bawa kami ke sana ke sini (kali pertama dalam hidup tengok gadis bawa van sebenarnya).

Selepas itu, aku bersama sahabat-sahabat dimasukkan dalam circle dan mendengar perkongsian diselangi nasihat. Di sinilah ‘cinta’ mula berputik. Aku merasai, inilah bezanya program berpersatuan dan program tarbiyah ni. Selasak atau seduniawi mana pun aktiviti, ruhi tetap diisi.

Awal perjalanan tarbiahku bagaikan roller coaster ada naik turunnya, bermain tarik tali hinggalah satu detik yang menjadi titik pusingan merubah diriku. Detik ketika mendengar potongan kata-kata yang menyentap fikiran hingga menusuk qalbu lalu mengetuk diri ini dari lamunan.

“Dakwah ini bagaikan gerabak kereta api. Kalau kita tertinggal departure time, ia akan tetap meluncur ke depan menuju destinasi. Dakwah tetap maju mencari sinar harapan meskipun tanpa kita. Bahkan kitalah yang sebenarnya perlukan gerabak dakwah tersebut.”

“Tanpa jemaah, kita bagaikan seekor kambing yang menunggu masa untuk diterkam serigala-serigala ganas di luar sana.” Hidup tanpa ikatan biah yang baik dan saling mengingatkan, mudah saja menjebakkan kita dengan penyakit-penyakit belia dan masyarakat hari ini seperti couple islamic, hedonisme, liberalisme dan macam-macam jenis lagi pengaruh sesat dan songsang.

Maka dari situlah serious mode on dalam tarbiyah. Aku cuba menilai diri dan mencari ‘kekosongan’ dalam jiwa dan mencari apa istimewanya tarbiah melalui buku-buku yang aku baca. Media sosial seperti Facebook melaju untuk add friend tokoh dan figura ISMA untuk mengenali dan mengkaji sendiri prinsip jemaah ini, bukan hanya mendengar omongan biasa dari orang lain.

PERJUANGAN DI SARAWAK

Beberapa tahun menghirup udara masyarakat Sarawak, menjadikan saya lebih faham keadaan dan budaya mereka. Statisik penganut Islam di Sarawak dalam setiap kampung (secara purata) hanyalah sekitar 3.5%. Masyarakat di sana hidup majmuk, pluralisme agama masih tinggi dan berada dalam situasi sensitif jika tersalah langkah. Kenapa aku berkata begitu?

Pernah diceritakan, andai kita menuntut untuk dirikan sebuah masjid di sesebuah komuniti kecil Islam, akan ada pula suara yang akan menuntut untuk mendirikan gereja atas tiket yang mudah iaitu, majoriti penganut adalah penganut Kristian.

Malah, acap kali kami melihat missionaries berbaju putih secara konsistennya berziarah dari rumah ke rumah menyebarkan ajaran mereka. Tapi alhamdulillah belum pernah pulak datang ke rumah sewa kami sepanjang berada di sana. Pernah beberapa kali saya dan sahabat, menerima risalah agama lain dalam bentuk risalah yang diletakkan di kereta atau motosikal.

Jadi apa boleh saya simpulkan, puak kufar bertungkus lumus dan bergerak licik menyebarluaskan ajaran agama mereka. Malah sebahagian mereka yang ‘hardcore’ bercita-cita mengubah identiti Malaysia menjadi republik berasaskan Kristian Evangelis. Lihatlah, Islam hari ini ibarat jenazah. Kita sedang dikambus sedikit demi sedikit dalam keadaan hidup-hidup. Sudah banyak kita bertolak ansur hingga kita sendiri ditolak beransur-ansur.

Situasi ini adalah sebagai refleksi diri, bahawa kita sebagai umat Islam hari ini menggalas tanggungjawab yang lebih berat dan perlu bekerja dengan lebih kuat. Sebab itu, ISMA sangat komited mendidik masyarakat dan secara berani lantang mendepani COMANGO, Evangelist, LGBT, sekolah vernakular, dan pihak yang mencabar Ketuanan Melayu.

Malah banyak usaha-usaha memberikan kefahaman Islam di Sarawak juga giat dilakukan, selain bantuan-bantuan dan bimbingan kepada para muallaf turut diberikan seperti dilakukan oleh Yayasan Ikhlas, Ruai Ikhlas dan I-Medik. Semua ini adalah usaha mendekati masyarakat demi menyelamatkan akidah agar akhirnya anak cucu kita dapat merasai kenikmatan hidup dalam sebuah negara Islam.

Slogan perjuangan yang dilaungkan ISMA sejak 2013, Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ dulunya ditentang hebat, akhirnya hari ini sudah diterima umum dan sangat relevan selepas berlakunya persengketaan politik di kalangan pimpinan Melayu Islam yang tak pernah berkesudahan.

JOM SERTAI ISMA!

Tauladan dan ketekunan ditonjolkan pimpinan, tokoh dan ahli-ahli ISMA dalam apa jua bidang dan kerjaya yang diceburi membuatkan aku sendiri terinspirasi. Aku juga menyaksikan pimpinan-pimpinan ISMA sendiri sanggup turun padang bersinsing lengan dan mendidik masyarakat di bandar-bandar, kampung-kampung dan ceruk pedalaman supaya nikmat Islam ini dirasai oleh semua lapisan masyarakat kerana hakikatnya dakwah ini bukan cukup sekadar menjadi muslim yang soleh dan solehah, siang dan malam dihabiskan atas tikar sejadah sahaja.

Apapun pangkat, jawatan, lulusan akademik, kerjaya diletak sekejap di tepi. Baik golongan professional dan berstatus tinggi hingga golongan suri rumah dan pelajar,layanannya tetap sama kerana dakwah ISMA tidak eksklusif pada golongan tertentu. Yang tua dihormati, yang muda disantuni. (No double standard!)

SYUKUR & PENGHARGAAN

Tiada erti hari-hari kita berlalu tanpa lintasan rasa syukur padaNya,
Dengan nikmat iman, Islam dan ihsan,
Satu lagi hadiah bermakna patut disyukuri,
Nikmat Dakwah dan Tarbiyah.
‘Tunjukilah aku jalan yang lurus”.

Bila difikirkan balik, mungkin sebahagian doaku yang telah dijawab dengan dihadiahkanNya dakwah dan tarbiyah ini.
Nikmat besar dirasai hari ini tidak dikecapi tanpa berkat doa mak abah yang tak putus-putus mengharapkan kebaikan untuk anak-anak mereka.

Juga terima kasih pada abang kakak yang mempermudahkan urusan dan kekadang hantar balik adikmu ini ke program-program ISMA. Pada masulah, ikhwah akhwat, saudara-mara, sahabat handai, rakan taulan dan insan-insan di sekeliling yang mengenali diri ini.

Semoga diakhiri hidup ini dengan pengakhiran yang baik dan terus kekal istiqamah pada jalan ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat