Terlambat atau Tertinggal?: Nasihat buat Pendakwah

1. Arus dakwah ini akan terus mengalir. Tidak menunggu sesiapa. Tidak menunggu masa. Tidak terlambat. Tidak kira apa keadaan sekali pun. Kerana itulah sunnatullah Nya. Yang akan menghentikannya hanyalah kiamat.

لا تقوم الساعة حتى يقاتل المسلمون اليهود
Tidak akan terjadi hari kiamat, sehingga muslimin memerangi Yahudi (baca: menang). – Sahih Muslim –

2. Ketika Sahabat yg mulia Suhail Bin Amru r.a dan Abu Sufyan r.a lewat utk ikut bersama dengan aliran dakwah Rasulullah, mereka berasa sedih dan menyesal. Mereka menyesal kerana terlewat. Mereka bersama perjuangan Rasulullah lewat hampir 23 tahun. Mereka masuk islam ketika Fathul Makkah. Di zaman Umar Al Khattab r.a, Suhail Bin Amru r.a berkata kepada Abu Sufyan,

فإِن كنتم غَضابًا فاغضبوا على أَنفسكم
Jika kamu ingin marah, marahlah diri kamu sendiri (kerana terlewat masuk islam). – Hasan AlBasri –

3. Perasan sedih dan menyesal ini juga turut melanda jiwa Saidina Kaab Bin Malik ketika membuat salah terlambat mengikut perang tabuk kerana terleka (Sahih Bukhori). Namun Alhamdulillah Sahabat Mulia Kaab tidak meninggalkan arus itu. Dia mengejar dan bersamanya semula walau perlu melalui hukuman. Itulah kisah diceritakan Kaab bin Malik r.a yang banyak mengesani dirinya.

4. Begitulah Arus Dakwah ini, ia pasti akan menderu laju tanpa menunggu sesiapa pun. Sama ada anda sibuk menguruskan keluarga. Sibuk dengan usaha kerjaya/belajar. Sibuk dengan kejayaan bisnes. Atau mudah kata sibuk dengan duniawi. Aliran dakwah (akhirat) ini, akan tetap terus mengalir.

5. Ketahuilah, ujian dan magnet dunia akan terus menarik kita sehingga kaki kita terantai. Magnet dunia halus dan indah yang mungkin, menjadikan kita sendiri pun tidak perasan rantainya telah terbelit dikaki. Selagi anda tidak berada dalam arus dakwah itu, anda akan terus tertinggal. Jika sudah tertinggal, sempatkah anda mengejarnya? Barangkali sempat. Bagaimana kalau anda sudah tertinggal jauh? Mungkin anda akan hilang dan hanyut sahaja.

Nukilan Ikhlas,
Muhammad Nukman Ab Halim
NYDP ISMA Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat