Kebebasan Beragama Dalam konteks Perlembagaan Dan Kepentingan Islam

Oleh : Dr Mardhiyyah Binti Mazlan

Isu kebebasan beragama di Malaysia adalah satu aspek hak asasi manusia yang sering diperdebatkan oleh pelbagai pihak hatta di peringkat antarabangsa. Laporan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia sebagai proksi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2018 dilaporkan telah mengecam kerangka perundangan dan perlembagaan persekutuan terhadap isu ini yang kononnya tidak bertoleransi terhadap kebebasan beragama bagi warganegara Malaysia.

Adakah patut sebuah negara atau pertubuhan asing mempersoalkan perlembagaan negara kita, yang hakikatnya digubal oleh pihak berautoriti dan memahami kerangka negara?

Konsep kebebasan beragama antara negara Islam dan negara barat adalah sangat berbeza. Ini kerana sistem perundangan Islam tidak mewujudkan pengasingan antara undang-undang dan prinsip agama. Piagam Madinah merupakan contoh nyata dalam pembinaan sebuah Negara Islam.

Semasa pemerintahan Rasulullah SAW, orang bukan Islam seperti kaum Yahudi dan Nasrani bebas untuk mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing.

Manakala di barat pula, sistem liberal melalui kebebasan beragama telah memisahkan secara keseluruhan gereja dan negara. Sekularisme ini membawa natijah kepada agama yang akhirnya dikeluarkan dalam urusan negara dan dijadikan urusan peribadi sahaja.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan,“Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian dalam Persekutuan”. Ini adalah pengiktirafan bahawa Islam mempunyai kedudukan khusus dan utama berbanding agama lain. Maka, adalah menjadi tanggungjawab bagi kerajaan untuk mempertahankan agama Islam ini dari diganggu dan digugat oleh pihak tertentu. Malah wajib bagi kerajaan untuk memperkasakannya dalam pentadbiran secara holistik.

Sepertimana yang diperuntukkan dalam Perkara 11(1), “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.” Inilah menunjukkan terdapat hak beragama kepada penganut-penganut agama lain, namun mereka sama sekali tidak dibenarkan untuk menyebarkan ajaran agama mereka kepada masyarakat apatah lagi kepada umat Islam di negara ini.

Firman Allah s.w.t, “Tiada paksaan di dalam agama. (Sesungguhnya) telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat.” (Al Baqarah: 256).

Ini menunjukkan betapa Allah menyerahkan kepada manusia ruang dan kebebasan membuat keputusan terhadap perkara aqidah. Segala amalan dan tanggungjawab akan dihisab dari dirinya. Namun, ia juga bukan bermaksud membolehkan berlakunya riddah atau keluar daripada Islam.

Oleh yang demikian, perlindungan kepada penganut agama Islam di Malaysia diperuntukan dalam Perkara 11 (4) yang membataskan kebebasan hak ini. Penyebaran doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan penganut agama Islam boleh dikawal atau disekat menerusi undang-undang negeri; dan Perkara 11 (5) memperuntukkan bahawa sebarang perbuatan keagamaan yang mengancam ketenteraman, kesihatan awam dan prinsip moral adalah dihalang. Setiap muslim adalah dijamin hak beragamanya.

Kebebasan beragama dalam Islam memiliki batasannya yang tersendiri iaitu memberi kebebasan kepada individu untuk memilih kepercayaan mereka sendiri tanpa ada paksaan kepada sesiapa yang bukan Islam untuk memeluk Islam. Selain itu, setiap Muslim tidak dibolehkan untuk menukar agama dan terikat sepenuhnya dengan hukum-hukum Islam.

Tujuan kebebasan beragama juga adalah untuk mewujudkan perdamaian antara manusia, menghindari konflik antara agama dan memelihara jati diri umat Islam. Maka tidaklah menjadi isu kebebasan beragama di Malaysia adalah disekat atau bersifat tidak adil, kerana Islam adalah agama negara ini dan aqidah penganutnya perlu dilindungi daripada sebarang anasir luar yang merosakkan.

Kesimpulannya, tidak timbul sama sekali isu kebebasan beragama di negara kita disekat atau bersifat tidak adil. Lihat sahaja kepada bilangan rumah ibadah orang bukan Islam di Malaysia, kuil, gereja dan tokong bilangan sangat banyak. Adakah mereka masih tidak bebas?

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat