JOHOR BAHRU, 19 Mei – Program Piknik Tadabbur Al-Quran Siri 9.0 dan aktiviti kanak-kanak “Halal Ke?” telah berlangsung dengan jayanya di Surau As-Sholawatil Hikmah, Desa Mutiara, Johor Bahru Ahad lalu.



Program anjuran Wanita ISMA Johor Bahru dan Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM) ini berjaya menghimpunkan para peserta dalam suasana santai, ilmiah dan penuh ukhuwah.
Bagi sesi Tadabbur Al-Quran, para muslimah berpeluang mengikuti perkongsian bertajuk “Perjalanan Hati Menuju Allah” yang disampaikan oleh Ustazah Nuha Binti Zainurrashid, aktivis Wanita ISMA Johor Bahru. Pengisian yang menyentuh hati itu memberi inspirasi kepada peserta untuk terus memperbaiki hubungan dengan Allah serta mendalami penghayatan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Dalam masa yang sama, program “Halal Ke?” di Laman Nazim turut mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak berumur 7 hingga 14 tahun. Peserta didedahkan dengan teori sembelihan, aktiviti sembelihan ayam serta sesi memasak yang interaktif dan menyeronokkan. Program ini memberi pendedahan awal tentang kepentingan memahami konsep halal dan syarak dalam kehidupan.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, sukarelawan dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi menyuburkan budaya ilmu dan kefahaman Islam dalam masyarakat.

