oleh: Habsah Binti Abdul Shaer
PORT DICKSON, 12 Feb – Kedatangan bulan Rejab menandakan kita akan menerima tetamu agung iaitu bulan Ramadan yang penuh barakah. Walaupun pada tahun ini, mungkin kita akan melalui bulan Rejab dan Syaaban dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun itu bukan lah pematah semangat untuk kita terus bersedia dalam menerima kedatangan bulan Ramadan.
Buat pertama kalinya pada tahun ini, Usrah Wanita Isma PD telah berlangsung secara maya melalui aplikasi Google Meet dan bersiaran serentak secara langsung di FB Page Wanita Isma PD.
Usrah kali ini menampilkan Puan Anis Nirhana Binti Hasni, aktivis Wanita Isma PD yang berkongsi tips bagaimana membina hubungan rapat dengan al-Quran dan cara menghayati setiap kalam Allah.
Puan Anis memulakan usrah dengan membaca sepotong ayat quran dari Surah al-Hadid ayat 16 yang bermaksud;
“Belum sampaikah masa bagi orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang itu melalui masa yang panjang maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik”
Mengulas tafsir ayat ini, puan anis menjelaskan, Allah telah memberi panduan kepada kita betapa manusia kebanyakannya tidak menghargai nikmat bertuhankan Allah dan nikmat al-Quran sebagai panduan hidup. Allah memberi peringatan bahawa kita sebenarnya dah tiada masa untuk bersenang lenang di dunia yang fana ini dan kenapa tidak ambil peluang untuk menghargai nikmat al-Quran yang Allah turunkan.
“Jaga betul-betul nikmat yang Allah turunkan kepada kita ini. Kita kena ubah sudut pandang kita terhadap Al-Quran. Kalau sebelum ini kita rasa cukup lah sekadar baca dan khatam tanpa memahami dengan lebih mendalam maksud yang tersirat dalam setiap ayat, tapi mulai sekarang, jadikan Al-Quran sahabat kita dan jadikanlah ia panduan dalam kehidupan seharian kita,” jelas Puan Anis lagi.
Seterusnya, Puan Anis berkongsikan beberapa tips untuk kita menjadi sahabat rapat dengan al-Quran iaitu;
- Duduk sendirian dan muhasabah bagaimana hubungan kita dengan al-Quran. Adakah kita hanya jadikannya perhiasan atau membacanya sekadar melepaskan batuk di tanggan?
- Pasang niat/azam untuk memperbaiki hubungan dengan al-Quran. Cari jalan untuk memperbaiki bacaan dan mempelajari hukum tajwid
- Masukkan dalam jadual harian kita waktu membaca Quran agar kita lebih berdisiplin.
- Mewujudkan suasana yang boleh meningkatkan motivasi dan minat untuk membaca Quran seperti menghias satu sudut menarik di rumah.
- Berdoa bersungguh-sungguh agar segala usaha kita untuk menjadi teman rapat al-Quran sentiasa dimudahkan Allah.
Puan Anis turut berkongsi beberapa panduan bagaimana untuk kita memahami dan menghayati al-Quran agar kita betul-betul dapat mengambil pengajaran dari setiap kalam Allah ini.
- Didiklah diri kita untuk baca sekali dengan terjemahan dan fahami maksudnya.
- Hadirkan satu rasa setiap ayat Allah ini ditujukan untuk kita.
- Sediakan satu buku nota kecil untuk kita simpan petikan-petikan ayat yang kita suka supaya mudah untuk kita lihat berulang kali.
- Rajinkan diri untuk merujuk tafsir Quran yang ada supaya setiap maksudnya kita baca dapat kita fahami dengan lebih jelas.
Menutup Usrah pada malam itu, Puan Anis mengingatkan ahli usrah agar dapat memanfaatkan dua bulan yang ada ini untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.
Untuk mendapatkan perkongsian penuh, boleh layari https://www.facebook.com/wanitaismapd/videos/763869474545497