Antara pintu rezeki yang manusia lalai padanya adalah pintu kefahaman.
Ini kerana, walaupun ada sebilangan orang menuntut ilmu yang sama, tetapi tidak semua diberikan Allah kefahaman yang sama.
Perkara utama dalam kita menuntut ilmu adalah niat semata-mata kerana Allah SWT dan bukan atas asbab yang lain.
Orang yang menjadikan Allah SWT sebagai tujuan utama dalam menuntut ilmu akan dikurniakan kefahaman sepertimana yang diberikan kepada para nabi.
Antara doa yang biasa diajarkan kepada kita:
1) Doa kefahaman yang baik :
“Wahai tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para nabi, hafazan para rasul serta ilham para malaikat yang hampir dengan-Mu..”
2) Doa sebelum belajar :
“Ya Allah bukakan kepada kami hikmat-Mu dan berikan kepada kami rahmat-Mu, ya Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang”.
Doa-doa di atas antara doa yang menunjukkan bahawa kefahaman itu suatu nilai yang besar yang dikurniakan Allah SWT dan bukan atas kepandaian kita.
Kefahaman para nabi dan orang mukmin adalah ilham dari Allah SWT dan mereka diberikan kefahaman yang benar (al-Haq) seperti yang dikehendaki-Nya.
Oleh sebab itu, di samping kita berdoa dikurniakan kefahaman para nabi, kita juga mesti berdoa supaya dibukakan pintu kefahaman yang benar (al-Haq) dan dijauhkan dari kefahaman yang batil.
Hanya mereka yang kuat kebergantungan dengan Allah akan diberikan ilham dan dibukakan pintu kefahaman al-Haq walaupun ia kelihatan salah di mata orang lain.
Semoga Allah SWT memberi kita hidayah dan taufiq.