KENYATAAN MEDIA
ISMA Gesa Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Siasat Kartel PDRM
Pendedahan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa wujudnya kartel Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sangat membimbangkan dan perlu diambil perhatian.
Kartel PDRM yang dikatakan memberikan jaminan wang dan perlindungan kepada penjenayah ini sudah bertapak lama dalam PDRM seperti yang didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
ISMA berpendapat, jika dakwaan ini benar-benar berlaku ianya harus dicantas bukan sahaja di peringkat bawahan tetapi di pihak atasan juga.
ISMA juga khuatir jika amalan ini tidak dibanteras ia akan mempengaruhi banyak siasatan dan tangkapan berhubung kes-kes jenayah berat seperti kartel dadah, judi, pelacuran, pemerdagangan manusia, pembunuhan, kegiatan pinjaman wang haram dan banyak lagi.
Sebagai contoh kes pembunuhan seorang anggota bomba, Allahyarham Adib dalam kes rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman masih senyap tanpa ada sebarang pendakwaan, sedangkan sudah banyak kes pembunuhan PDRM tangkas membuat pendakwaan.
ISMA juga tidak mahu wujudnya sikap berdiam diri oleh masyarakat awam gara-gara takut jika diugut sekiranya membuat laporan polis berhubung mana-mana kegiatan jenayah berat melibatkan penjenayah yang dilindungi kartel PDRM ini.
Bagi memastikan PDRM terus menjadi sebuah badan yang berintegriti, ISMA menggesa supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan wujudnya kartel PDRM ini.
ISMA juga berpendapat PDRM seharusnya menjadi sebuah badan berkanun yang bebas daripada pengaruh luar dan politik wang supaya kekal menjadi badan kepercayaan orang awam.
Sekian, terima kasih.
Dr. Ahmad Kamsani Bin Samingan
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
25 Mac 2021