KENYATAAN MEDIA
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Gesa Rakyat Pilih Calon Muslim Berwibawa
Selaku badan pendesak yang prihatin kepada kepentingan Islam, bangsa dan negara Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) ingin menyeru kepada para pengundi muslim untuk memilih wakil rakyat yang berwibawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon mestilah muslim yang memenuhi kriteria wibawa seperti mengangkat agenda Islam dan aspirasi perlembagaan di dalam parlimen, memperjuangkan agenda bumiputera, berintegriti, cekap dan mahir dalam urus tadbir.
Mereka juga mesti bebas dari pengaruh asing dan mempunyai agenda perpaduan umat dan rakyat, serta mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara tamadun Melayu.
Isma melihat perkara ini penting supaya dapat meramaikan pemimpin muslim yang akan lantang bersuara dan berani mempertahankan segala kepentingan umat Islam.
Selain itu juga, dengan pemimpin muslim berwibawa yang ramai ini dapat menjadi suara yang akan menyatukan umat Islam agar segera duduk semeja, berunding, berbincang dan bersepakat demi menjaga hak dan kepentingan umat Islam tanpa mengira blok kepartian sama ada UMNO, PAS, AMANAH, PPBM dan PKR.
PRN Johor juga bakal berdepan dengan 700 ribu pengundi muda terutama yang berusia 18 tahun apabila Akta Undi 18 telah diwartakan.
Perkara ini pastinya menjadi cabaran kepada negara dalam landskap politik, sama ada pengundi muda ini dapat membuat keputusan berdasarkan fakta atau hanya mengikut emosi.
Oleh itu, Isma, menyeru kerajaan supaya menggiatkan usaha untuk mendidik generasi muda tentang politik matang yang bukan berasaskan blok kepartian dan perkara-perkara penting yang termaktub dalam Perlembagaan.
Norzafry Bin Norhalim
Ketua Biro Komunikasi Korporat dan Multimedia Isma
25 Januari 2022