Tahniah diucapkan kepada semua adik-adik yang menerima keputusan UPU hari ini. Setiap tawaran yang diterima adalah suatu nikmat, maka bersyukurlah atas rezeki ini dan gunakan ia sebagai batu loncatan untuk masa depan yang lebih cerah.
Bagi yang tidak berjaya mendapat tawaran, jangan berputus asa. Masih terdapat banyak ruang dan peluang lain seperti kolej swasta, program kemahiran, atau laluan alternatif lain. Ingatlah, setiap jalan untuk menuju kejayaan adalah berbeza, dan kadangkala peluang lain lebih sesuai dengan minat serta bakat masing-masing.
Bagi mereka yang berjaya menempatkan diri di universiti, rancanglah perjalanan pembelajaran dengan sebaiknya. Tetapkan visi dan misi agar jelas hala tuju sepanjang pengajian. Mulakan membaca dan mengkaji bidang yang bakal dipelajari supaya lebih bersedia menghadapi cabaran dalam akademik nanti. Boleh mulakan mencari senior-senior yang boleh membantu memberikan nasihat dan tunjuk ajar yang benar dalam melayari kehidupan di alam universiti.
Selain itu, jangan lupa membuat persiapan diri dari segi mental dan fizikal agar lebih mudah menyesuaikan diri dengan suasana baharu. Pada masa yang sama, cari juga peluang biasiswa yang boleh membantu meringankan beban kewangan sepanjang pengajian nanti.
Cabaran di universiti berbeza mengikut peredaran zaman. Jika dahulu mungkin kekurangan fasiliti dan kemudahan pembelajaran tetapi kini kemudahan yang ada jauh lebih baik, bahkan membantu meningkatkan kualiti pembelajaran.
Namun, cabaran terbesar untuk generasi kini adalah budaya dan gejala sosial yang wujud di dalam kampus itu sendiri.
Budaya hedonisme seperti hiburan melampau tanpa batasan merupakan gaya hidup yang telah dinormalisasikan dalam kehidupan mahasiswa. Ditambah lagi dengan masalah sosial yang wujud dalam ruang lingkup universiti itu sendiri, seperti zina, gay, lesbian, hisap gam, sugar daddy dan pelbagai lagi sisi hitam yang semakin membarah. Suasana kampus yang ada pada hari ini merupakan cabaran terbesar bagi generasi muda yang baru sahaja melangkah ke alam pengajian tinggi untuk mengenali dunia. Hadapilah segala rintangan dengan iman dan pegangan akidah yang benar.
Universiti bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi medan membentuk identiti diri, mengasah kemahiran, dan membina jaringan masa depan. Gunakan peluang ini untuk menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berjiwa besar dan berbakti kepada masyarakat. Selamat maju jaya buat semua mahasiswa!
Nurhadirah binti Adnan
Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (PEMBINA)

