KENYATAAN MEDIA
Pihak Yang Menghina Agama Islam Harus Dikenakan Hukuman Setimpal
1. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memandang serius insiden penghinaan terhadap kesucian agama Islam yang sering berlaku terutama pada bulan Ramadan.
2. Perkara ini bukan kali pertama berlaku dalam sejarah negara kita, bahkan Ramadan kali ini pula insiden penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa kedai rangkaian serbaneka KK Supermart.
3. Pihak yang terlibat merupakan rakyat Malaysia yang sepatutnya sudah faham tentang titik sensitiviti umat Islam, tetapi mereka seolah-olah sengaja mahu mencabar umat Islam.
4. ISMA melihat, umat Islam wajar menyatakan kemarahan dan kekesalan mereka terhadap insiden ini kerana ianya adalah tanda rasa sayang dan cinta kepada Islam.
5. ISMA menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit termasuk individu-individu yang turut menghina kesucian nama Allah SWT. kerana kesalahan yang dilakukan telah menimbulkan suasana tidak selesa dalam kalangan umat Islam yang merupakan penduduk majoriti negara ini. Sebarang pelanggaran undang-undang negara tidak boleh terlepas dengan hanya permohonan maaf sahaja, apatah lagi dalam insiden ini adalah penghinaan terhadap nama suci Allah SWT.
6. ISMA yakin kejadian seperti ini pasti berulang jika tiada tindakan dan hukuman yang setimpal dikenakan kepada pihak yang terlibat.
7. ISMA juga menyeru umat Islam secara keseluruhannya mesti memberikan pengajaran terhadap pihak terbabit sebagai satu tanggungjawab sosial dengan memboikot dan tidak berbelanja di kedai rangkaian serbaneka itu.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Bin Selamat
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
18 Mac 2024