PUTATAN, 15 Oktober – Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut bermula daripada jiwa yang tidak tunduk kepada hawa nafsu dan penilaian manusia. Mesej ini menjadi antara pengisian utama Usrah Wanita anjuran Wanita ISMA Cawangan Putatan dengan kerjasama Surau Al Fateh dan PPR Taman Sri Serigai Putatan, 27 September lalu.
Program yang berlangsung di Surau Al-Fateh itu menghimpunkan hampir 40 orang peserta wanita dengan pengisian bertajuk “Wanita Berjiwa Merdeka, Membangun Peradaban Ummah” yang disampaikan oleh Ts. Dr. Wahidatul Husna binti Zuldin, Ketua Wanita ISMA Cawangan Putatan.
Dalam perkongsian tersebut, beliau menekankan bahawa wanita yang berjiwa merdeka mampu memainkan peranan besar dalam melahirkan generasi soleh yang tidak diperhambakan oleh hawa nafsu, sebaliknya teguh berpegang pada prinsip Islam.
“Ibu yang memiliki jiwa merdeka bukan sahaja membentuk keluarga yang baik, malah menjadi antara kunci kepada pembinaan generasi rabbani yang bakal menyumbang kepada kebangkitan peradaban Islam,” katanya.
Program ini turut diselangi dengan Kuiz Kemerdekaan dan jamuan pagi yang mengeratkan ukhuwah dalam kalangan peserta.
Semoga perkongsian ini menyuntik semangat kepada para wanita untuk terus memperbesar pengorbanan, menguatkan semangat, membersihkan hati dan memerdekakan jiwa demi membina generasi serta peradaban ummah.


