AIN SOKHNA, 14 Oktober – Nilai ukhuwah merupakan asas penting dalam pembentukan masyarakat dan komuniti khususnya dalam kalangan mahasiswa Malaysia yang menuntut ilmu di perantauan. Menyedari kepentingan ini, ISMA Mesir saban tahun telah menganjurkan Hari Keluarga sebagai acara tahunan bagi mengeratkan ukhuwah dan memperkukuh kebersamaan dalam kalangan ahli.
Pada masa yang sama, program ini bertujuan menyediakan ruang rehat kepada mahasiswa setelah melalui sesi pengajian selama setahun sebelum kembali meneruskan sesi pengajian yang baharu.
Selain itu, program ini menjadi medan untuk menyuburkan nilai ukhuwah, perkenalan dengan mahasiswa baru serta merapatkan hubungan antara ahli ISMA Mesir daripada pelbagai latar belakang fakulti pengajian di Mesir.
Program yang berlangsung selama dua hari satu malam di Resort Hayah, Ain Sokhna yang melibatkan 36 ahli ISMA Mesir itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk aktiviti pantai, war game, tadabbur al-Quran, acara sukan dan lain-lain lagi. Menariknya lokasi Hari Keluarga pada tahun ini terletak bersebelahan Laut Merah, sekali gus memberikan peluang kepada para peserta menikmati keindahan pemandangan alam semula jadi dan merehatkan minda dalam suasana yang mendamaikan.
Jawatankuasa Cawangan ISMA Mesir, Ustaz Nik Khalifah menegaskan bahawa aktiviti rehlah yang mengikat ukhuwah seperti ini merupakan sebahagian daripada fitrah manusia yang perlu diraikan.
“Penganjuran Family Day ini juga selari dengan seruan ISMA Mesir melalui agenda membangun komuniti, yang menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan bagi meluaskan jaringan kenalan dan membina hubungan yang lebih erat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Menurutnya lagi pendekatan ini diharapkan dapat melahirkan komuniti mahasiswa yang bukan sahaja kukuh dari sudut ukhuwah, malah saling menyokong dalam pembangunan diri dan kehidupan bersama.


