Ramadan peluang mengangkat syiar Islam

Saya masih ingat kakak angkat saya, seorang cina juga “berpuasa” setiap kali bulan Ramadan. Bila saya ke rumah kedainya untuk ulangkaji bahasa Mandarin, ayahnya akan mengusik hendak berbuka puasa apa hari ini sebab Mei Mei (panggilan manja di rumah) ikut saya berpuasa. Saya amat menghargai kasih sayang dan perasaan hormat terhadap ibadah puasa yang ditunjukkan oleh keluarga ini.

Saya percaya ramai lagi rakan-rakan muslim yang mengalami pengalaman indah seperti saya. Hakikatnya ramai individu bukan Islam yang mampu untuk hormat orang Islam berpuasa, malah 40 tahun saya hidup dan berkawan, bekerja dan bermuamalah dengan mereka belum ada lagi yang sengaja hendak makan dengan gembira depan saya, malah ramai yang sangat hormat dan memahami walaupun kita rasa tidak ada masalah dan tidak tergugat pun puasa.

Bahkan ada dalam kalangan individu bukan muslim yang sama-sama mengikuti orang Islam untuk berpuasa kerana teruja dengan suasana Ramadan dan mahu mengambil peluang mencabar diri menahan lapar dahaga.

Ramadan merupakan bulan mendidik jiwa dengan semangat perjuangan dan membina kekuatan. Sepatutnya yang menjadi keutamaan menteri pendidikan, bukan isu kantin, makan dalam stor yang panas sehingga boleh menimbulkan polemik dalam masyarakat tetapi menyuburkan semangat dan roh Ramadan dalam usaha mengangkat syiar Islam.

Kisah di atas membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang agama ini terbuka dengan ibadah puasa yang dilakukan oleh orang Islam. Kesediaan mereka yang turut serta berpuasa merupakan peluang untuk mereka menerima hidayah Islam, jika tidak sekurang-kurangnya mereka hidup sebagai rakyat Malaysia yang baik, bertoleransi dan mampu menghormati perbezaan agama.

Saya percaya suasana harmoni ini dapat disuburkan dengan pendekatan mengangkat syiar Islam dengan tinggi sehingga ruh Ramadan dirasai semua, bukan dengan bersifat apologetik dan “lebih kuah dari sudu”. Hal ini bukan sahaja merosakkan perpaduan, malah menghilangkan satu-satunya peluang untuk syiar serta dakwah Islam subur dan berkembang.

Prof. Madya Dr. Madihah Rushaidhi
ISMA Johor Bahru

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat