Isu terkini yang melibatkan seorang kanak-kanak lingkungan lima tahun menodai adik kembarnya selepas sering menyaksikan ibu kandung melakukan hubungan seks bersama teman lelaki sangat membimbangkan.
Saya amat khuatir terhadap fenomena ini yang jika tidak ditangani dengan baik, boleh membawa kesan negatif jangka panjang kepada perkembangan moral dan mental anak-anak.
Al-Quran mengingatkan kita dalam Surah At-Tahrim, ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu”.
Ayat ini menyeru setiap ibu bapa untuk melindungi keluarga mereka dari segala bentuk kemungkaran dan memastikan anak-anak dibesarkan dalam persekitaran yang berakhlak dan berlandaskan ajaran agama.
Ibu bapa perlulah sentiasa memantau tingkah laku anak-anak dan memastikan mereka tidak terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sesuai dengan usia mereka.
Peranan ibu bapa sebagai model teladan amatlah penting kerana anak-anak sering kali meniru apa yang mereka lihat.
Oleh itu, ibu bapa harus menunjukkan contoh yang baik, mendidik anak-anak tentang batas-batas pergaulan yang sihat, serta menyediakan persekitaran rumah yang selamat dan positif. Sentiasa berbincang dengan anak-anak tentang isu-isu moral dan etika dalam suasana yang terbuka dan penuh kasih sayang.
Bagi para remaja, jauhilah perkara-perkara yang mendekat kat diri kepada zina. Pergaulan bebas, tidak menjaga ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan) serta pornografi antara punca remaja mudah tergelincir ke kancah zina.
Dalam dunia yang serba canggih ini, di mana informasi mudah diakses dan pengaruh luar mudah meresap. Jadi, saya menyeru setiap lapisan masyarakat bersama-sama memainkan peranan aktif dalam memastikan anak-anak dan remaja kita berada di landasan yang betul.
Hilmi Rosli
Ketua Unit Pengkaderan Ahli
Kelab Remaja Isma Johor Bahru

