Membangun kepimpinan dalam kalangan generasi muda Melayu adalah kunci dalam memastikan kemajuan dan kekuatan ummah pada masa hadapan. Generasi muda ini memiliki tenaga, kreativiti, dan keanjalan kepada perubahan yang diperlukan dalam konteks masa kini yang semakin kompleks. Bagaimanapun, untuk memastikan potensi ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya, beberapa pendekatan perlu diberi penekanan:
1.Pendidikan berasaskan nilai Islam dan pembangunan akhlak dan jati diri perlu diperkukuhkan untuk melahirkan pemimpin yang berdaya saing. Proses ini memerlukan sokongan daripada institusi pendidikan dan organisasi dakwah dalam komuniti bagi membimbing generasi muda memahami peranan mereka bukan sahaja sebagai pemimpin tetapi juga sebagai khalifah di muka bumi.
2.Memberi ruang kepada generasi muda untuk terlibat dalam aktiviti kepimpinan dan sosial sejak di bangku sekolah hingga ke alam pekerjaan akan membantu mereka memahami realiti masyarakat dan membina kemahiran memimpin. Penglibatan dalam NGO Islam, majlis belia, kelab-kelab atau badan kebajikan boleh menjadi medan latihan yang berkesan.
3.Anak muda perlu dididik tentang kepentingan kesedaran politik dan bagaimana ia mempengaruhi kedaulatan ummah di peringkat nasional dan antarabangsa. Dengan bimbingan yang baik, generasi muda akan lebih memahami landskap politik Malaysia dan menyumbang kepada perubahan secara konstruktif.
4. Melatih generasi muda untuk berfikir kritis dan menganalisis isu secara mendalam adalah penting dalam membina pemimpin yang mampu menghadapi cabaran. Kemahiran ini akan membolehkan mereka menilai situasi secara objektif dan membuat keputusan yang berpandangan jauh demi kepentingan ummah.
Dengan sokongan berterusan daripada keluarga, komuniti, institusi pendidikan, dan pemimpin masyarakat, generasi anak muda Melayu mampu menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ummah. Kepimpinan yang berakhlak tinggi dan berpandangan jauh ini akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan ummah yang lebih kuat dan berdaya tahan.
Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat
Presiden ISMA