Dari Melaka ke Madinah: Inspirasi Dakwah Nabi Dalam Pembinaan Tamadun Nusantara

Ya, “Melaka akan menemui dirinya kembali” itulah yang sering bermain di fikiran apabila menelusuri asal usul ummah tanah air ini yang pernah gemilang tamadunnya dicemburui oleh penjajah luar yang terus menerus meratah sumber alam bumi bertuah ini.

Pejuang tanah melayu nenek moyang kita berkorban darah dan nyawa menentang penjajah Portugis, Belanda, Jepun, Siam dan British bukan semata-mata yang digambarkan dalam teks sejarah iaitu tidak puas hati terhadap pengenalan cukai, tetapi kehendak besar membebaskan tanah umat Islam daripada pengaruh kuasa asing yang cuba untuk mencengkam kedaulatan.

Sejarah negara seterusnya dilakar oleh pemimpin-pemimpin setelah kita mencapai kemerdekaan daripada penjajah pada 1957 sebagai Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada 11 buah negeri. Kemudiannya membentuk negara Malaysia pada 1963 dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Namun disebabkan beberapa faktor politik, akhirnya Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada 1965.

Apabila kita berbahas tentang kemerdekaan, maksud sebenar kemerdekaan yang kita hendak capai adalah nuansa tanah air ketika ratusan tahun sebelum tarikh kemerdekaan 1957 lagi iaitu ketika kegemilangan kesultanan Melayu Melaka. Mengapa saya kata begitu? Kerana ketika itulah kehendak dan cita-cita kita umat Islam di tanah air ini benar-benar merdeka dari cengkaman dan pengaruh kuasa asing. Kita bebas mencipta kekuatan dan melaksanakan segala kehendak bercitrakan Islam dan tradisi Melayu berakar dari syarak.

Lihatlah bagaimana para ulama’ dan umara’ (pemimpin) ketika itu mengangkat Islam di peringkat perundangan dengan memperkenalkan Undang-undang Laut Melaka, Hukum Kanun Melaka dan sebagainya. Bukan itu sahaja, pelbagai penciptaan dan teknologi seperti persenjataan, perkapalan dan sebagainya menguatkan lagi haibah (kehebatan) ketamadunan ummah di Tanah Melayu ini hinggakan khazanah ciptaan negara telah diangkut penjajah ke negara mereka tersemat di muzium-muzium.  

Perjuangan perlu diteruskan hatta selepas 1957, kerana kita tahu, British meninggalkan kita hanya tubuh badannya sahaja tetapi ideologi, dasar, polisi dan kepentingan ekonominya, masih lagi berakar tunjang dalam negara kita ini.

Kita sebagai seorang Muslim dan sebahagian dari umat Islam yang berpijak di tanah air perjuangan ini tidak akan mudah-mudah menerima segala peninggalan penjajah asing yang langsung tidak bertepatan dengan wahyu. Bukankah perlembagaan hidup kita adalah al-Quran dan as-Sunnah? Apabila segala penetapan dasar dan polisi yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, jika tidak pun ia bertentangan dengan maslahah dan kebaikan ummah di negara ini, apakah kita hanya berdiam diri dan meneruskan kehidupan seperti biasa?

Syahadah yang kita angkat setiap hari di dalam solat adalah bukti ketaatan dan komitmen kita terhadap Islam walau di mana sekalipun kita berada. Islam kita bukan semata-mata dalam ibadah khusus seperti solat, zakat, haji dan sebagainya namun ia adalah penzahiran dalam segenap aspek kehidupan kita.

Jika dalam solat, kita tidak akan sesekali tunduk rukuk dan bersujud melainkan kepada Allah Rabbul Jalil Tuhan sekalian alam, adakah tergamak kita sanggup rukuk dan sujud pada sistem kehidupan di luar daripada solat?

Percayalah, kita tidak bermula dengan kosong. Kita kaya dengan sejarah ketamadunan, kaya sumber alam, sumber manusia, hanya perlu ada political will (kehendak politik) di peringkat pimpinan negara dan kesedaran dari ummah seluruhnya di Malaysia.

Kita sesekali tidak menzalimi bangsa dan agama lain di tanah air ini apabila kita mengajak ummah untuk mengenali asal dan mewarisi perjuangan. Mengenali asal dengan makna tanah air ini adalah di bawah kedaulatan Islam dan mewarisi perjuangan dengan makna meletakkan Islam di tempat tertinggi yang menjadi rahmat kepada sekalian alam. Bukankah Islam itu adalah satu-satunya agama yang Allah redha sepertima dalam firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 19:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah ialah Islam” (Ali Imran: 19)

Malaysia ini ada identiti, kehendak, dan cita-citanya yang telah pun diterjemah ke dalam bahasa perjuangan para pejuang terdahulu. Sebahagian sejarawan membahaskan konsep neonostalgia yang merupakan satu bentuk pemikiran yang bukan lagi semata-mata mengenangkan kembali masa silam yang indah tetapi memberi makna baharu supaya bangsa dapat memahami keagungan silam dan jati dirinya bagi menghadapi cabaran pertembungan pemikiran masa depan.

Kerana itu, apa-apa pun yang berlaku dari sudut pengenalan dasar, polisi, akta dan sebagainya, kita dengan tegasnya menilai kembali apakah ia benar-benar memberi kemaslahatan kepada negara kita yang beridentitikan Melayu Islam. 

Oleh itu, ajarilah masyarakat dan anak-anak muda mengenali asal dan mewarisi perjuangan. Itulah kehendak syarak yang mulia demi untuk memartabatkan Islam kembali sebagai cara hidup yang syumul di bumi bertuah ini. Ingatlah, kita dilahirkan dalam Islam dan berbangsa Melayu, jadi amanahnya adalah untuk mengangkat dan melaksanakan Islam di bumi ini bukan semata-mata hidup dan akhirnya mati tiada perjuangan yang diwariskan.

Itulah yang difahami oleh para sahabat yang berjumlah sekitar 124 ribu (menurut Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwi) ketika Hujjatul Wida’ bersama nabi kita Muhammad SAW namun perkuburan di Baqi’ hanya menempatkan 10 ribu sahabat dan sahabiah sahaja. Dimanakah 114 ribu sahabat yang lain? Mereka mungkin dikuburkan di seluruh pelusuk dunia tanda tersebarnya dakwah. Itulah ruh jihad dan penerusan dakwah yang harus kita warisi di ceruk tanah Asia Tenggara ini.

Melaka akan menemui dirinya kembali. Menemui kegemilangannya kembali, menemui kehendaknya yang merdeka kembali, menemui identiti dan cita-citanya kembali. Kenali asal, warisi perjuangan.

Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi
Ketua Biro Dakwah ISMA

Scroll to Top