KUANTAN, 27 September – Pasukan ISMA Pekan FC muncul juara baharu Piala Presiden ISMA Zon Pantai Timur selepas menewaskan lawan mereka, ISMA Kuantan FC dalam perlawanan akhir yang penuh mendebarkan.

Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga wisel penamat. Dengan semangat juang yang tinggi, keputusan akhirnya berpihak kepada ISMA Pekan dengan jaringan penalti 3-2.
Kapten pasukan, Danial Iman, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil kerjasama kukuh, komitmen serta sokongan padu daripada penyokong dan warga ISMA Pekan.



“Alhamdulillah, Allah mengurniakan kami kemenangan yang sangat bermakna. Kemenangan ini bukan sahaja buat kami, tetapi juga buat ahli dan seluruh penyokong ISMA Pekan.
Kami rasa sangat bersyukur dan bangga dapat menjuarai zon pantai timur buat julung kalinya. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk kita terus berjuang dan capai lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.
Sementara itu, jurulatih pasukan, Mohd Hazrani bin Hazim, menegaskan bahawa disiplin, fokus dan doa menjadi kunci utama kejayaan.


Kejohanan Piala Presiden ISMA Zon Pantai Timur ini menghimpunkan 8 pasukan dari cawangan ISMA di PantaiTimur, antaranya Kuantan, Kemaman, Dungun, Temerloh, Kelantan dan Nilai (jemputan). Pertandingan ini bukan sekadar medan mengasah bakat bola sepak, tetapi juga platform memperkukuh ukhuwah belia ISMA melalui sukan.
Dengan kemenangan ini, ISMA Pekan FC layak digelar juara Pantai Timur dan bakal menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus cemerlang dalam sukan serta dakwah.


