ISMA memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid di Parlimen pada 11 November 2025 yang menyatakan bahawa Malaysia dibina oleh pelbagai bangsa, agama dan bahasa. Kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah boleh memesongkan kefahaman generasi baharu terhadap akar sejarah sebenar negara ini.
Hakikatnya, Malaysia tidak bermula daripada penjajah atau hasil kompromi kaum semata-mata. Negara ini dibina atas asas peradaban Melayu-Islam yang telah wujud jauh sebelum penjajahan Barat tiba ke rantau ini.
Sebelum tahun 1957, Tanah Melayu telah memiliki kerajaan Islam yang berdaulat, seperti Kesultanan Melayu Melaka, yang berasaskan hukum Islam dan berteraskan kedaulatan Melayu sebagai bangsa teras. Sistem politik, undang-undang, ekonomi, bahasa dan budaya ketika itu semuanya berakar pada nilai Islam dan identiti Melayu. Inilah akar sejarah sebenar negara kita.
Apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Perlembagaan Persekutuan sendiri mengiktiraf hakikat ini melalui beberapa peruntukan asas:
Perkara 3(1): Islam adalah agama bagi Persekutuan.
Perkara 152: Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.
Perkara 153: Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dijamin.
Institusi Raja-Raja Melayu dikekalkan sebagai payung kedaulatan negara.
Kesemua ini bukan hasil kebetulan atau kompromi politik semata-mata, tetapi pengiktirafan terhadap sejarah dan asas peradaban Melayu-Islam yang telah membina identiti negara ini.
Oleh itu, adalah tidak tepat dan menyeleweng untuk menggambarkan Malaysia sebagai negara yang “dibina oleh pelbagai bangsa dan agama” tanpa mengiktiraf teras asalnya iaitu Islam dan Melayu.
Kepelbagaian kaum dan agama adalah realiti sosial yang dihormati dalam kerangka negara ini, tetapi wujud di atas landasan yang telah dibina oleh bangsa Melayu berteraskan Islam.
ISMA menyeru semua pihak, khususnya pemimpin politik, agar tidak memanipulasi sejarah demi kepentingan ideologi parti. Pengiktirafan terhadap akar Melayu-Islam bukan satu bentuk penafian kepada kaum lain, tetapi satu penghormatan kepada kebenaran sejarah dan asas pembinaan negara.
ISMA akan terus mempertahankan fakta ini bahawa Malaysia berdiri megah atas teras Islam, Melayu dan bahasa Melayu. Inilah tiga tunggak yang menjadi identiti dan kekuatan sebenar negara.
Mohammad Ridhuan bin Muhammad
Naib Presiden ISMA

