ISMA Seru MAIS Perkukuh Kerjasama Strategik Banteras Ideologi Songsang

SHAH ALAM, 14 Nov – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat telah menghadiri mesyuarat bersama-sama Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) dengan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Senator Dato’ Setia Hj. Salehuddin Saidin di Pejabat Majlis Agama Islam Selangor pagi tadi.

Pertemuan ini menegaskan kembali amanah besar MAIS sebagai benteng yang menjaga maslahat umat Islam di Selangor dan memastikan keutuhan Islam sentiasa terpelihara sekaligus dipertahankan daripada sebarang ancaman yang boleh merosakkan asas akidah.

Presiden ISMA sempat memberikan cadangan kepada MAIS supaya memperkukuh kerjasama strategik, bagi mendepani cabaran pemikiran seperti liberalisme dan fahaman Syiah yang boleh menggugat akidah anak muda.

“Mendepani cabaran pemikiran yang semakin meresap dalam kalangan generasi muda seperti aliran liberalisme dan fahaman Syiah.

“Kedua-duanya mampu menggoyahkan kefahaman asas yang sepatutnya mengikat mereka kepada manhaj Islam yang sahih,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, Dato’ Pengerusi MAIS menyambut baik dan menyeru agar Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) membantu MAIS dalam membanteras ancaman liberalisme dan pluralisme ini daripada menular ke dalam masyarakat umat Islam.

“Semoga Allah memandu langkah kita untuk membina generasi yang teguh akidah, jelas jati diri serta mampu menjadi perisai kepada ummah.

“Semoga kerjasama ini membuka ruang tindakan yang lebih tersusun demi mempertahankan agama Islam di negeri ini,”katanya lagi.

Scroll to Top