KRIM Sepang Dan Maahad Tahfiz Kiblah Anjur Mukhayyam Tarbawi Bentuk Sahsiah Remaja Rabbani

TAMPIN, 10 Disember — Kelab Remaja Islam Malaysia (KRIM) Sepang dengan kerjasama Maahad Tahfiz Kiblah telah menganjurkan Mukhayyam Tarbawi Kiblah 2025 yang menghimpunkan seramai 241 orang pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4.

Program bertemakan “Akhlak Rabbani, Manhaj Nabawi” ini bertujuan melahirkan remaja yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi turut memiliki akhlak, disiplin dan kesedaran peranan sebagai khalifah.

Pengarah KRIM Sepang, Qamarul Nazrin bin Harun, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu bentuk sinergi strategik antara organisasi belia dan institusi pendidikan dalam membina generasi muda yang lebih berdaya tahan dan berprinsip.

“KRIM melihat maahad tahfiz sebagai rakan strategik dalam usaha membentuk remaja yang faham agama, kuat jati diri dan mampu berfungsi dalam masyarakat. Mukhayyam seperti ini bukan sekadar aktiviti luar, tetapi proses pembinaan manusia secara menyeluruh,” katanya.

Qamarul turut menegaskan bahawa pendekatan mukhayyam memberi ruang kepada pelajar untuk belajar melalui pengalaman, khususnya dalam aspek kepimpinan, kerjasama dan disiplin diri.

“Remaja hari ini tidak cukup dengan teori. Mereka perlu ruang untuk diuji, dibimbing dan dipimpin dalam suasana sebenar. Di sinilah nilai mukhayyam tarbawi,” ujarnya.

Sepanjang program, para peserta terlibat dengan pelbagai aktiviti yang dirangka bagi mengukuhkan ukhuwah, membina daya kepimpinan serta menyemai kefahaman Islam secara praktikal, selari dengan keperluan pembangunan remaja masa kini.

Pihak KRIM Sepang berharap kerjasama bersama Maahad Tahfiz Kiblah ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan remaja Islam berterusan di peringkat komuniti dan pendidikan.

Scroll to Top