Menyingkap Sunnatullah Sebagai Kompas Perubahan Dan Pembinaan Peradaban Islam

Berhenti dan membacalah 

Ummah yang dalam kebuntuan dan kekacauan pada segala aspek kehidupan perlu  berhenti seketika dari segala apa yang mereka lakukan hari ini. Ya, mereka perlu  berhenti dari aktiviti-aktiviti mereka. Para agamawan perlu berhenti berdakwah. Para  ahli politik perlu berhenti berpolitik. Para cendekiawan perlu berhenti mengarang. Para  pemudanya perlu berhenti beraktivisme.  

Mengapa perlu berhenti ? Kita perlu berhenti bagi memberi ruang untuk kita membaca. Apa yang dihadapi umat kita hari ini adalah kita tidak membaca. Apatah  lagi berfikir. Namun bukankah kita miliki ramai pendakwah yang membaca, ahli politik  yang ulat buku dan anak muda yang penuh rak bacaannya ?  

Ya , tepat sekali. Menurut kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia didapati rakyat  Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua naskah pada tahun 2005, 15 naskah  pada tahun 2014 dan terkini adalah 24 naskah pada tahun 2023. Kadar minat  membaca rakyat Malaysia terkini berada pada tahap 88.6 %. 

Lihat sahaja pesta buku antarabangsa tahunan di PWTC, berat tuduhan saya  mengatakan ummah di Malaysia tidak membaca. Jadi, apa perlunya saya mengajak  umat untuk berhenti dan kembali membaca di saat aktiviti pembacaan dan  pembukuan rancak di negara kita?  

Para pembaca sekalian, kita perlu mengajak umat berhenti membaca bahan lain bagi  memberi ruang untuk kita membaca dan mentadabburi al-Quran yang kita pinggirkan  (المهجور القرآن(. Realiti hari ini umat kita membaca pelbagai macam idea dan  mengadaptasi segala idea yang lahir dari pembacaannya kecuali idea al-Quran. Kita  membaca cara membangun negara dan peradaban maju mengikut acuan barat dan 

mengangkatnya sebagai model di negara kita namun kita tidak membaca dan  mengangkat acuan al-Quran dalam membentuk negara dan peradaban unggul.  

Bahasa mudahnya kita meninggalkan al-Quran yang terkandung padanya kebenaran  ilmu. Kita meninggalkan al-Quran dalam mencari solusi permasalahan umat pada hari  ini lalu mencedok kerangka ilmu dan ‘solusi’ yang ditawarkan oleh orde barat yang  hakikatnya berdasarkan kezaliman, kerosakan dan pengingkaran terhadap Tuhan  (Thagut). Kita mengambil kerangka ilmu mereka yang berdasarkan pengingkaran  terhadap Allah pada masa yang sama kita mengharapkan tertegaknya hukum Allah  melalui kerangka fikir tersebut. Ia adalah kemustahilan yang hanya memenatkan  ummah dan membazirkan wang serta tenaganya.  

Pada siri penulisan ini saya akan membawa para pembaca khususnya anak muda  untuk berhenti sejenak dan menelusuri ayat-ayat Allah bersama saya dan pedoman pedomannya untuk kita mengambil pelajaran dari lampau, membaca dan  menganalisis realiti pada hari, lalu melakar masa depan yang cerah untuk ummah.  

Masa lampau membina masa hadapan 

Ibn Mas’ud berkata :  

“Jika kalian menginginkan ilmu, maka dalamilah al-Qur’an, kerana sesungguhnya di  dalamnya terdapat ilmu orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian.” 

Sesiapa yang ingin melihat masa hadapan umat, mereka perlu mendalami dan  meneliti al-Quran kerana padanya petunjuk masa hadapan yang diilhamkan dari  pengajaran masa lampau. Begitulah ringkasan kata-kata Ibn Mas’ud ini. Dalam  membentangkan idea membina masa hadapan ini, saya akan memimpin para  pembaca untuk menelusuri sebuah ilmu agung sebagai kompas kita membina masa  hadapan iaitu Ilmu Sunnatullah atau Sunan Ilahiyyah

Apakah itu Sunnatullah atau Sunan Ilahiyyah? Saya memetik takrifan para ulama’  terdahulu dan terkemudian dalam menjelaskan apakah itu Sunnatullah sebelum saya  ringkaskan dan mudahkan bahasanya kepada para pembaca.  

Dari sudut bahasa, As- Sunnah bermaksud cara atau perjalanan hidup. Menurut Ibn  Taimiyyah, as-Sunnah al-Ilahiyyah (sunnah Ilahi) pula merujuk kepada kebiasaan  Allah yang mengandungi makna bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala melakukan  terhadap perkara kedua seperti mana yang telah dilakukan terhadap perkara pertama.  Tambah beliau lagi, sunnah-Nya ialah kebiasaan-Nya yang menyamakan antara  sesuatu dengan yang seumpamanya di masa lalu yang membawa maksud bahawa  Allah menetapkan hukum yang sama bagi perkara-perkara yang serupa. Al-Qurṭubi  pula berkata ketika mentafsirkan firman Allah Ta‘ala: 

سُنَّةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلُ‌ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ ٱللَّهِ تَبۡدِيلاً۬

Sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan  bagi sunnatullah itu. 

[Surah al-Fath: 23]: 

‘Maksudnya ialah cara dan kebiasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang terdahulu  dalam memberikan kemenangan kepada para wali-Nya ke atas musuh-musuh  mereka.’ Al-Rāghib al-Asfahani pula menyebut bahawa sunnah Ilahiyyah ialah: “Cara  pelaksanaan hikmah-Nya”. Manakala Ibn al-Qayyim menyatakan: “Sunnah Allah ialah  kebiasaan-Nya yang diketahui.’  

‘Alim kontemporari seperti Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya ‘As-Sunan Ilahiyyah’  pula mentakrifkannya sebagai: “Kaedah tetap yang Allah gunakan dalam berinteraksi  dengan manusia, berdasarkan perilaku, tindakan, dan sikap mereka terhadap syariat  Allah dan para nabi-Nya, serta kesan-kesan yang terhasil daripada hal itu di dunia dan  akhirat.”

Berdasarkan beberapa takrifan yang saya bentangkan di atas, saya keluarkan nota penting bagi memahami Sunnatullah ini.  

1) Ia adalah perbuatan dan hikmah Allah dalam mentadbir alam.

 2) Ia diketahui (al-ma’rufah) dan boleh dicerap melalui kaedah banding beza.

 3) Ia akan berulang apabila berlaku persamaan dalam sebab, keadaan, dan  respon manusia terhadap syariat Allah. 

4) Wujud kesan yang berlaku di dunia dan di akhirat. 

5) Puncak hikmah sunnatullah adalah kemenangan bagi walinya dan kekalahan  bagi musuhnya. 

Mengambil kira kata kunci diatas, saya mentakrifkan Sunnatullah sebagai: 

Ketetapan tetap Allah dalam mentadbir alam berdasarkan perbuatan dan hikmah-Nya  yang sempurna. Ia adalah sesuatu yang diketahui (al-ma‘rufah) dan dapat dicerap  melalui kaedah banding beza terhadap pola dan peristiwa dalam sejarah serta realiti  kehidupan. Ketetapan ini akan berulang apabila terdapat persamaan dalam sebab,  keadaan, dan respon manusia terhadap syariat Allah, tanpa mengira zaman atau  individu. Sunnatullah juga mencakupi ketetapan yang berlaku bukan sahaja di dunia,  seperti kejatuhan dan kebangkitan umat, tetapi juga di akhirat, seperti ganjaran dan  pembalasan yang dijanjikan berdasarkan keadilan-Nya. Puncak hikmah dari  Sunnatullah ini ialah kemenangan yang dijanjikan kepada wali-wali-Nya (هللا حزب ) dan  kehancuran kepada musuh-musuh-Nya) الشيطان حزب( . 

Apa guna memahami dan mengimani sunnatullah ini terhadap diri dan masa hadapan  ummah? Jika ditanyakan kepada kita apakah ilmu teragung yang menjadi puncak  hikmah Allah di dalam al-Quran, pastinya kita akan menyebut ilmu Tauhid di mana  segala apa selain Allah adalah batil dan hanya Allah lah hakikat segala sesuatu.  Hakikatnya, Sunan Ilahiyyah ini juga adalah sebahagian dari Ilmu Tauhid dan  merupakan penyempurna kepada keimanan kita terhadap nama-nama dan sifat Allah  (al-Asma’ wa al-Sifat). Seperti mana iman kita bertambah apabila mengenali dan  memahami nama-nama dan sifat-sifat Allah, begitulah juga iman kita akan bertambah 

apabila memahami dan mengimani sunan Ilahiyyah kerana hakikatnya sunan  Ilahiyyah adalah cerminan atau manifestasi (Tajalliyat) nama dan sifat Allah SWT. 

Ilmu ini juga merupakan asas kepada seluruh urusan alam, menjadi dasar kepada  aturan kehidupan bangsa-bangsa, dan ia adalah landasan perjalanan para nabi dan  rasul. Maka, semakin mendalam seseorang memahami hakikat alam dan susun atur  sistemnya, serta mengetahui keadaan para nabi dan rasul, seruan mereka, pendirian  mereka dalam menegakkan kebenaran, kesabaran dan jihad mereka kemudian dia  merenungi bagaimana Allah memberikan bantuan, kemenangan dan pertolongan  kepada mereka serta membinasakan musuh-musuh mereka maka akan  bertambahlah pula pengetahuannya tentang Allah, sunnah-Nya dan hikmah-Nya.  

Apabila memahami hakikat sunnatullah ini dan yakin akan terlaksananya puncak  ketetapan Allah bahawa para Nabi dan pendokong risalahnya akan dibantu dan  menang manakala musuhnya akan binasa dan lenyap, maka ia adalah sekuat-kuat  perkara yang meneguhkan hati para pendukung risalah dan menetapkan langkah  mereka dalam menuju kemenangan dan masa hadapan Islam yang dijanjikan.  

Memahami sunnatullah membawa ummah yang berputus asa terhadap realiti untuk  menerobos dimensi alam nyata menuju alam ghaib, mengutip mutiara-mutiara hikmah  para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan solihin dalam menghadapi pertembungan zaman  mereka. Kemudian, ummah kembali ke alam realiti hari ini untuk menggembirakan  manusia dengan solusi yang menyembuhkan. Inilah kekuatan ummah yang telah  hilang kerana kita tidak membaca, berfikir, dan merenung ayat-ayat Allah. Inilah juga  kekuatan ummah kerana kita mampu merentas dimensi masa, mengambil  pengajaran, dan membina masa hadapan dengan penuh keyakinan. 

Allah SWT berfirman:  

وَكُلاًّ۬ نَّقُصُّ عَلَيۡكَ مِنۡ أَنۢبَآءِ ٱلرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِۦ فُؤَادَكَ‌ۚ وَجَآءَكَ فِى هَـٰذِهِ ٱلۡحَقُّ وَمَوۡعِظَةٌ۬ وَذِكۡرَىٰ لِلۡمُؤۡمِنِينَ

Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai  Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang  beriman. (Surah Hud:120) 

تِلۡكَ مِنۡ أَنۢبَآءِ ٱلۡغَيۡبِ نُوحِيہَآ إِلَيۡكَ‌ۖ مَا كُنتَ تَعۡلَمُهَآ أَنتَ وَلَا قَوۡمُكَ مِن قَبۡلِ هَـٰذَا‌ۖ فَٱصۡبِرۡ‌ۖ إِنَّ ٱلۡعَـٰقِبَةَ لِلۡمُتَّقِينَ

(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan  kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak  mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang  baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi  orang-orang yang bertaqwa (Surah Hud: 49) 

Kisah dan hikayat orang soleh adalah tentera-tentera Allah, dengannya Allah  meneguhkan hati-hati hambanya , kata Imam al-Junaid. Bagaimana kisah dan  hikayat umat terdahulu mampu menguatkan jiwa seorang hamba? Tidak lain kerana  inti dan teras kepada kisah-kisah itu adalah terlaksananya hukum ketetapan Allah  yang berjalan secara konsisten dalam sejarah manusia. Ia cerminan bagaimana Allah  melaksanakan janji-Nya kepada orang beriman, menzahirkan hikmah-Nya dalam  ujian, serta menimpakan azab kepada golongan yang ingkar. Maka, apabila  seseorang menghayati kisah tersebut, dia bukan sekadar mengenang masa lalu,  tetapi menyaksikan tajalliyat (manifestasi) sifat-sifat Allah dalam realiti kehidupan yang  dengannya, hati menjadi yakin, jiwa menjadi teguh, dan langkah menjadi berani. 

Oleh kerana itu, saya menekankan bahawa Sunnatullah merupakan usul  agama الدين محكمات dan fokus perbincangan al-Quran القرآن مركزيات yang perlu diberikan  perhatian oleh ummah melalui analisis dan renungan (tadabbur) terhadap kisah-kisah  di dalam al-Quran. Maka tidaklah pelik mengapa al-Quran lebih sarat dengan kisah 

kisah berbanding ayat-ayat hukum kerana ia adalah tapak beradanya puncak hikmah  Allah yang dapat dicerap oleh manusia yang berfikir.  

Yang menyaksikan tidak sama dengan yang mendengar 

.الشاهد ليس كمن رأى 

Tidaklah sama mereka yang sekadar mendengar peristiwa dengan mereka yang  melihat hakikat peristiwa tersebut, kata pepatah arab. Antara intipati Sunnatullah yang  saya sebutkan sebelum ini ialah ia pasti berulang, dapat dibanding bezakan antara  peristiwa lampau dan hari ini, dan ia mampu dicerap oleh manusia. Hakikat ini terbukti  pada hari ini, di mana umat manusia telah menyaksikan sebuah pentas terlaksananya  sunnatullah. Pentas tersebut adalah milik Gaza dan seluruh yang bersama perjuangan  mereka. Gaza adalah medan Allah menzahirkan manifestasi nama dan sifat-sifat-Nya  secara menyeluruh di muka bumi ini pada hari ini.  

Medan ini dipersaksikan oleh nabi sebagai ‘benteng kebenaran’ yang akan tetap  teguh, zahir dan menang.  

Daripada Abi Umamah Al-Bahili RA meriwayatkan: Rasulullah SAW bersabda, “Akan  sentiasa wujud daripada umatku, sekumpulan yang terus menegakkan kebenaran dan  tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walaupun  dipinggirkan dan dirintangi kesusahan, melainkan semua itu hanyalah ujian,  sehinggalah datang ketentuan Allah (hari kiamat). Mereka akan tetap sedemikian”.  Sahabat bertanya, “Di mana mereka itu?” Baginda menjawab, “Mereka berada di  Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya.” 

Kewujudan kumpulan ini adalah puncak hikmah Allah dan ketidakwujudan mereka  adalah kehancuran alam ini (kiamat). Dalam siri-siri penulisan ini saya akan  menjadikan Gaza dan perjuangannya sebagai bukti mata kasar sunnatullah di dunia  ini dan bagaimana bukti ini akan menjadi hujah kepada seluruh manusia. Saya akan  banyak membanding-bezakan perjuangan Gaza dan mereka yang bersama mereka  dengan kumpulan yang memusuhi perjuangan mereka. Begitu juga saya akan  membawa para pembaca menelusuri sunnatullah di dalam al-Quran melalui kisah kisah lampau yang penuh dengan iktibar. Hal ini dengan harapan ia membuka mata  para pembaca akan hakikat sunnatullah yang sedang berlaku pada hari ini dan  memandu kita dalam memilih jalan perjuangan yang kita akan tempuhi.  

Cukuplah setakat ini penulisan pendahuluan saya tentang sunnatullah dan  mafhumnya secara ringkas termasuk metodenya dalam membentangkan idea dan  kefahaman tentang sunnatullah kepada para pembaca. Pada siri penulisan yang akan datang, saya akan menyentuh dengan lebih mendalam jenis-jenis sunnatullah yang  utama dan perkaitannya dengan sunnatullah yang lain, termasuk cara  mengaplikasikannya pada realiti hari ini. Semoga saya diberi kelapangan dan  kemudahan oleh Allah SWT untuk terus menulis tentang Sunnah-Nya ini sebagai  langkah pertama melakar masa hadapan ummah.

Ibrahim Allam Said
Timb. Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Scroll to Top