COVENTRY, 13 Februari – “Dakwah di Eropah ini bukan sekadar menganjurkan program bermusim, tetapi tentang memastikan ruh dan nadi Islam terus berdenyut dalam diri setiap individu sebelum kita mampu menghidupkannya dalam masyarakat.” Pesanan mendalam ini menjadi intipati utama dalam Daurah Nuqoba’ ISMA Eropah (DNA) 2026 yang berlangsung di University of Warwick baru-baru ini.

Ungkapan tersebut menekankan bahawa peranan seorang murobbi bukan sekadar penyampai maklumat, malah merupakan ‘sendi’ yang menghubungkan nilai wahyu dengan realiti kehidupan mahasiswa di perantauan yang penuh cabaran.
Program yang dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Sumber Manusia dan Tarbiyah ISMA Eropah ini bertujuan melahirkan barisan pelapis murobbi yang berkualiti dan berjiwa besar.
Peserta yang hadir, belajar kemahiran kepimpinan dan mendalami strategi dakwah yang efektif.
Ini merupakan siri 1 daripada 3 siri jelajah yang telah dirangka dan lokasi seterusnya akan berlangsung di Manchester yang akan menghimpunkan peserta-peserta daripada Manchester, Sheffield dan Leeds sebelum siri atas talian yang akan melibatkan ahli-ahli dari Dublin, Cork dan Jerman.
Fokus utama DNA 2026 adalah untuk membentuk penggerak yang mampu menjadi tulang belakang kepada kelestarian dakwah Islam, sekali gus memastikan obor perjuangan ini tidak terpadam di tengah arus budaya Barat.

Melalui sesi perkongsian yang interaktif, para peserta didedahkan dengan modul tarbiyah yang holistik bagi mempersiapkan diri menghadapi realiti dakwah masa kini. Pertemuan ini membuktikan bahawa walaupun dengan bilangan yang kecil, kesatuan jiwa dan matlamat yang jelas mampu menghasilkan impak yang besar buat komuniti Muslim di UK dan Eropah secara amnya.


