KUALA KANGSAR, 17 Mac 2026 – Bulan Ramadan sentiasa menjadi medan untuk merebut ganjaran pahala untuk semua golongan termasuk kanak-kanak. Bagi meraikan kegigihan mereka, Kelab Anak-anak Hebat NAZIM cawangan Kuala Kangsar telah mengadakan Majlis Iftar yang berlangsung di Pejabat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuala Kangsar. Program ini berjaya menghimpunkan seramai 29 orang kanak-kanak sekitar Kuala Kangsar bersama ibu bapa mereka bagi menikmati pengalaman Ramadan yang bermakna dan menyeronokkan.

Sepanjang program, kanak-kanak ini bukan sahaja berpeluang berbuka puasa bersama, malah turut mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat seperti tadarus al-Quran yang dipimpin oleh Dr Muhammad Rusydi Ahmad Zuhairi, Ahli Jawatankuasa ISMA Kuala Kangsar. Bacaan dimulakan dari Surah Ad-Dhuha hingga ke surah terakhir dalam al-Quran, sekali gus memberi peluang kepada anak-anak mengalunkan ayat suci al-Quran secara berjemaah dalam suasana penuh harmoni.
Menurut Pengarah Program, Nur Hidayah Shaari, penganjuran majlis ini juga bertepatan dengan sambutan Nuzul al-Quran yang disambut pada bulan Ramadan.
“Sempena Nuzul al-Quran, kita mahu anak-anak ini menghayati dan memahami betapa pentingnya al-Quran dalam kehidupan. Kita mahu menanam rasa cinta yang mendalam terhadap al-Quran supaya mereka menghargai hadiah teragung daripada Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Tambahan pula, pada masa kini sering berlaku peristiwa penghinaan terhadap Al-Quran, maka menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik generasi yang mempertahankan kemuliaannya,” jelasnya.



Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan kisah Perang Badar melalui slot tazkirah yang disampaikan oleh Dr Rusydi bersama isterinya.
“Peristiwa Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadan sarat dengan pengajaran. Bagi kanak-kanak ini, kami mahu mereka kekal bersemangat ‘berjuang’ menempuh Ramadan yang mencabar, terutamanya bagi mereka yang baru mula belajar berpuasa,” tambah Nur Hidayah.
Sementara menunggu waktu berbuka puasa, suasana menjadi lebih ceria apabila kanak-kanak berpeluang menyerlahkan bakat memasak dengan menyediakan pencuci mulut iaitu kek batik dengan bantuan para fasilitator.
Salah seorang ibu peserta, Puan Nor Shahira Mohd Nor, meluahkan rasa gembira melihat anak-anak dapat menyertai program seperti ini.
“Anak-anak saya sangat gembira dengan setiap penganjuran aktiviti NAZIM. Program seperti ini memberi ruang kepada mereka bertemu rakan sebaya dan beraktiviti dalam persekitaran yang positif. Dalam suasana hari ini, di mana keselamatan persekitaran tidak sentiasa terjamin dan ibu bapa pula sibuk bekerja, peluang anak-anak untuk berada di luar rumah agak terbatas. Program seperti ini membantu mereka berinteraksi dengan dunia sebenar serta menambah pengetahuan selain menghadap gajet di rumah,” katanya.
Majlis Iftar Khas Kanak-kanak ini bukan sekadar aktiviti berbuka puasa bersama, malah menjadi ruang untuk membina kenangan manis Ramadan dalam jiwa anak-anak. Melalui gabungan pengisian rohani, aktiviti interaktif dan suasana ukhuwah yang ceria, program ini diharapkan dapat menyemai kecintaan terhadap Al-Quran serta memupuk semangat beribadah dalam kalangan generasi muda sejak usia kecil.


