KUALA LUMPUR, 18 September – Seramai 33 orang remaja berusia 12 hingga 16 tahun teruja menyertai program “Jejak Warisan, Kembara Merdeka”, sebuah program santai dan interaktif yang bertujuan untuk menyemai kecintaan terhadap sejarah Tanah Melayu dan Malaysia bersempena Kempen KL Nadi Peradaban Ummah anjuran Kelab Remaja (KRIM) ISMA Kota Raja baru-baru ini.
Program yang disertai tujuh orang ahli jawatankuasa dan fasilitator ini bermula dengan perjalanan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) dari Alam Megah menuju ke Stesen Sentral Kuala Lumpur, sebelum peserta berjalan kaki ke Muzium Negara.
Sepanjang perjalanan, para peserta dibekalkan dengan Handbook Jejak Warisan Kuala Lumpur yang mengandungi komik, soalan kuiz ringkas serta informasi sejarah Malaysia. Bahan ini menjadi panduan pembelajaran dan aktiviti interaktif para peserta sepanjang berada di dalam LRT.
Setibanya di Muzium Negara, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menjawab soalan kuiz berdasarkan sejarah bumi Tanah Melayu. Aktiviti ini memberi peluang kepada para remaja mengenali sejarah dengan lebih dekat, di samping membina semangat kerjasama dan ukhuwah bersama rakan-rakan.
Program diteruskan dengan makan tengah hari dan solat Zohor sebelum para peserta bergerak pulang.
“Program ini merupakan pengalaman yang menyeronokkan dan berbeza daripada kebiasaan kerana berpeluang meneroka Muzium Negara bersama rakan-rakan dan membantu meningkatkan pengetahuan tentang sejarah Tanah Melayu dan Malaysia,” kata Aina Zahra yang berusia 15 tahun.
Manakala Pengerusi KRIM, Muhammad Amirul Asraf Ramli berkata program Jejak Warisan, Kembara Merdeka bukan sekadar sebuah kembara santai, tetapi menjadi ruang untuk para remaja mengenali akar sejarah dan memahami warisan tanah air yang kaya.
“Semoga dengan program seperti ini dapat memberi peluang dan ruang untuk para remaja bersama-sama menelusuri sejarah, menyemai kesedaran dan membangunkan peradaban umat Islam,” katanya.


