Sejarah Kehancuran kaum Nabi Lut a.s (Sodom dan Gomorah) adalah bukti kemurkaan Allah SWT terhadap perbuatan homoseksual, dan fenomena LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender). Pada hari ini, bermulanya kebangkitan semula perbuatan keji kaum tersebut yang wajib dibendung oleh umat Islam secara kolektif dan bersungguh-sungguh.
Kaum Nabi Lut a.s dibinasakan Allah SWT kerana mengamalkan perbuatan songsang (homoseksual) secara terang-terangan, malah, berbangga tanpa mengendahkan seruan nabi dan utusan mereka.
Sodom dan Gomorah sebenarnya merujuk kepada nama bandar, bukan nama kaum. Ia merupakan sebahagian daripada lima bandar besar di Lembah Jordan selain Adma, Zeboim, dan Bela. Menurut catatan Imam Thabari dan Ibnu Katsir, lokasi Sodom kini terletak di sekitar Jordan, berhampiran pantai barat Laut Mati. Sebagai bandar terbesar antara kelima-limanya, disitulah Nabi Lut a.s diutuskan.
Penduduk bandar ini memiliki akhlak yang sangat buruk. Situasinya di mana para lelaki menyalurkan syahwat sesama lelaki, begitu juga para wanita sesama wanita. Sehinggakan tiada pendatang yang selamat daripada gangguan mereka. Nabi Luth a.s diutus untuk menyedarkan kaum yang menyimpang ini. Firman Allah SWT :
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ, إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ
Maksudnya : Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas””
(Surah al-A’raf 7 : 80-81)
Namun seruan Nabi Luth a.s tidak menambah apa-apa melainkan perlawanan dan kesombongan kaumnya.
Kemurkaan Allah SWT terhadap kaum Sodom dizahirkan melalui azab yang memusnahkan seluruh peradaban mereka, sebagai peringatan keras dan maha dasyat bahawa balasan sedemikian boleh menimpa mana-mana kaum yang zalim dan ego dan bangga pada bila-bila masa.
Kaum Sodom menentang Nabi Luth a.s dengan berkata,
فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوا۟ ٱئْتِنَا بِعَذَابِ ٱللَّهِ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ
Maksudnya : Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar.
Lalu Nabi Luth berdoa memohon pertolongan Allah:
قَالَ رَبِّ ٱنصُرْنِى عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْمُفْسِدِينَ
Maksudnya : Nabi Lut berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tolonglah daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka)”.
(Surah al-Ankabut :29-30)
Allah memperkenankan doa baginda, Nabi Lut AS dan mengutus Malaikat yang datang menyerupai dua lelaki tampan:
وَلَمَّا جَآءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِىٓءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَٰذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ
Maksudnya : Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: “Ini adalah hari yang amat mencemaskan”
(Surah Hud 11: 77)
Maka tibalah detik azab itu:
فَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ
Maksudnya : Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.
(Surah Hud 11 : 82)
Allah telah menterbalikkan Kota Sodom sehingga hancur lebur, sebagai peringatan bahawa azab sedemikian tidak mustahil menimpa golongan “parasit” ini pada bila-bila masa.
Agama Islam yang suci murni serta jelas fitrahnya menetapkan hukum yang tegas terhadap perbuatan homoseksual sebagai dosa besar yang dilaknat Allah, tanpa membezakan antara gay dan lesbian, dan pendirian ini turut disokong oleh ulama kontemporari.
Dari Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍا
Maksudnya : Allah melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan (homoseksual) seperti kaum Luth, Allah melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan (homoseksual) seperti kaum Luth, Allah melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan (homoseksual) seperti kaum Luth” (diulang tiga kali)
(Riwayat Ahmad)
Tabiat homoseksual dalam Islam dikenali sebagai liwat, dan tidak ada perbezaan antara gay dan lesbian di mana kedua-duanya termasuk dalam kategori perbuatan yang melampaui batas dan dilaknat Allah. Bekas Mufti Mesir, Syaikh Dr. Ali Jum’ah, menegaskan bahawa Islam tidak mengiktiraf homoseksualiti dan menolak sebarang hubungan seksual di luar tabi’i dan pernikahan yang sah, serta menyifatkannya sebagai salah satu dosa paling terbesar.
Kisah kehancuran kaum Sodom memberi pengajaran (ibrah) bahawa perbuatan songsang seksual mengundang kemurkaan dan azab Allah yang dahsyat, mampu memusnahkan sesebuah bandar, sebuah peradaban dan tamadun besar. Namun, andai dilihat pada hari ini, gaya hidup LGBT semakin diterima masyarakat dengan sokongan kumpulan liberal dan sekular berselindung di sebalik Hak Asasi Manusia (HAM).
Agenda ini bukan sahaja dipromosikan secara meluas menerusi forum dan seminar, malah ada negara-negara yang maju yang telah menghalalkan perkahwinan sejenis dan jayakan aktiviti dan program yang membenarkan penyertaan “parasit” ini dalam acara-acara terbuka malah ditonjolkan.
Justeru, usaha mencegah gejala ini tidak boleh digalas secara individu, sebaliknya menuntut tanggungjawab bersama dan kolektif (jamaie). Hal ini juga memerlukan sokongan padu bermula daripada institusi keluarga, masyarakat, dan kerajaan, sehinggalah kepada peranan aktif umat Islam di seluruh dunia untuk mendidik serta membendung amalan songsang ini.
Malaysia adalah sebuah negara Islam dan bandar-bandarnya adalah murni dari segala pemikiran parasit ini. Justeru, kita tidak boleh sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang berkeras mahu membawa masuk pengaruh songsang LGBT yang merosakkan negara. Sinar harapan untuk generasi muda kita masih terbuka luas, dan ia hanya dapat dipelihara menerusi ketinggian syariat Islam.
Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang mengambil iktibar daripada azab kaum Nabi Luth lalu bangkit melakukan pembaikan.
Wal iyadzu billah
Mohamad Anwar Shahir Bin Abdul Shukor
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (PEMBINA)

