Kuala Lumpur kembali dipenuhi aktiviti yang tidak bermanfaat yang ditiru bulat-bulat daripada negara Thailand. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan bahawa Festival Muzik Air Rain Rave dijadualkan berlangsung bermula 30 April sehingga 2 Mei 2026 bersempena dengan sambutan Hari Pekerja dan selari dengan inisiatif kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang dianjurkan oleh kerajaan.
Saya betul-betul keliru sebenarnya dengan usaha yang pelik sebegini. Apakah sebenarnya dasar pelancongan yang dibawa oleh negara majoriti Melayu Islam ini? Pihak kementerian seolah-olah keliru dengan identiti negara ini. Saya harap pegawai-pegawai kita dapat membetulkan semula objektif kita dalam mempromosi sektor pelancongan di negara ini. Malaysia, sepatutnya mempromosi keunikan identiti masyarakat dan kebudayaannya untuk sama-sama dirasai oleh para pelancong yang datang. Antara keunikan Malaysia adalah identiti bangsa asal Melayu di sini telah berasimilasi sebaiknya dengan agama Islam yang merupakan Agama bagi Persekutuan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Lebih istimewa lagi, bangsa-bangsa lain yang wujud juga ada sebahagiannya telah memeluk Islam dan menzahirkan kebudayaan asal mereka melalui seni bina seperti yang boleh dilihat di Masjid India dan Masjid Diraja Cina di Klang. Pada masa yang sama hak-hak masyarakat yang bukan beragama Islam juga turut dijamin melalui perlembagaan yang telah digubal oleh para pimpinan terdahulu yang sangat memahami akan nilai keadilan dalam Islam.
Suasana muhibah dan keharmonian masyarakat yang sepatutnya menjadi antara naratif yang boleh diketengahkan oleh pihak kerajaan.
Miskin sangatkah kebudayaan negara tercinta ini, sehingga kita terpaksa mengimport budaya luar bagi mempromosikan tahun melawat negara kita? Saya membaca penafian yang dibuat oleh pihak Menteri tentang pakaian mencolok mata. Namun, saya masih tak dapat berfikir apakah yang bakal berlaku apabila manusia beramai-ramai bercampur lelaki dan perempuan berbasah-basahan bersama dalam ruang yang terhad. Kalau pun baju kurung dan baju melayu yang dipakai nanti, tetap juga tidak sopan dan bakal mengundang fitnah.
Saya berharap agar pegawai-pegawai kerajaan dan masyarakat awam dapat bersama-sama berfikir kesan bagi aktiviti sebegini. Aktiviti ini, seolah-olah menjadi medan mempromosi maksiat secara terbuka. Kita mesti mempunyai sifat yakin diri terhadap identiti unik negara ini (Melayu dan Islam) dan bersedia mempakejkan kepada dunia supaya dapat dinikmati bersama.
Perkara yang sama berlaku apabila kita berjalan ke negara orang, kita ingin menyelami adat resam dan budaya mereka yang asal. Sila batalkan sambutan tidak berasas itu!
Ustaz Muhammad Shahier bin Sa’min
Naib Presiden ISMA (Ketua Pemuda)

