Rupa-rupanya Festival Muzik Air Rain Rave yang viral itu bukan hanya dibuat di Bukit Bintang tetapi turut dilaksanakan di beberapa tempat di seluruh Malaysia. Satu hal yang janggal, mengapa acara ini dilaksanakan melalui agensi kerajaan padahal masyarakat Malaysia sendiri yang berbudayakan nilai Islam dan kesopanan tidak selesa dengan penganjuran program sebegini. Selama ini pun, Malaysia tidak pernah mempamerkan nuansa sebegini demi untuk menarik minat pelancong.
Tambahan pula, aktiviti hiburan melampau ini boleh membawa mafsadah atau kerosakan seperti percampuran bebas antara berlainan lelaki dan wanita, pendedahan aurat dan bentuk badan daripada aktiviti air yang bercanggah dengan syarak, potensi pengambilan arak yang mengkhayalkan, ini semua langsung tidak membawa kebaikan kepada masyarakat.
Bahkan, acara ini jelas mengarusperdanakan hedonisme yang langsung tidak mencerminkan identiti negara kita berteraskan Islam. Terlalu banyak inisiatif lain untuk menarik pelancong seperti menonjolkan warisan Islam dan Melayu, seni budaya berbagai kaum yang hidup harmoni, khazanah alam semulajadi, dan sebagainya.
Acara ini bukan sahaja menenggelamkan masyarakat dalam hedonisme atau hiburan melampau tetapi dalam masa yang sama merosakkan imej Malaysia sebagai negara umat Islam contoh teladan di seluruh dunia.
Mungkin sebahagian masyarakat tidak sedar akan arus hedonisme yang melanda negara umat Islam terutamanya negara kita tercinta. Tahukan anda lemahnya tamadun-tamadun sebelum ini disebabkan umat bebas dan melampau dalam hiburan yang terlarang?
Hedonisme ini secara mudahnya adalah suatu pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup juga satu doktrin atau teori etika yang menyatakan bahawa keseronokan merupakan tahap kebaikan tertinggi atau matlamat akhir sesuatu tindakan. Boleh disimpulkan juga bahawa ini adaIah salah satu cara musuh Islam untuk melalaikan umat dari agenda utama menegakkan Islam.
Dalam hal pendidikan kanak-kanak, punyalah prihatin kita terhadap perkembangan ilmu dan adab mereka hingga kita berusaha sebaiknya untuk menjauhkan diri mereka dari masalah sosial terutama di zaman gajet ini, tiba-tiba pihak atasan mudah sahaja menjalankan acara hiburan melampau yang merosakkan masyarakat secara besar-besaran.
Saya yakin para agamawan, pihak-pihak berwajib berkenaan urusan agama termasuk jabatan mufti turut bersuara akan hal ini. Malu lah penganjur jika masih bertegas untuk meneruskan acara ini walaupun ditegur pelbagai pihak. Tidakkah sekelumit rasa bersalah di ruang sudut hati mereka? Anda turut menanggung saham rosaknya masyarakat ini wahai pemimpin!
Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi
Ketua Biro Dakwah ISMA


