Daripada 12 bulan yang Allah SWT susun untuk umat Islam, seringkali kita terlepas pandang Zulkaedah, bulan yang diapit oleh bulan-bulan yang sibuk dan penting untuk umat Islam. Diawali dengan Sya’ban, Ramadan, Syawal dan seterusnya Zulhijjah. Kita sibuk dengan ibadah puasa dan raya, kemudian persiapan ibadah korban.
Jadi apa yang penting pada bulan Zulkaedah sehingga ia diapit oleh oleh bulan-bulan yang penting ini?
Oleh itu, dalam artikel ini dikupaskan secara ringkas satu peristiwa penting dalam sejarah awal Islam, iaitu peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian yang berlaku pada tahun ke-6 Hijrah, selepas Allah mengilhamkan Rasulullah SAW, bahawa umat Islam akan menunaikan umrah. Betapa seronoknya para muhajirin mendengar khabar ini, membayangkan akhirnya dapat melunaskan rindu pada sanak saudara dan kampung halaman.
Setelah segala persiapan dibuat, haiwan korban dihias indah, senjata yang sengaja dikurangkan dibawa, bergeraklah umat Islam untuk menunaikan umrah. Tetapi, atas rasa gerun yang Allah SWT campakkan dalam hati kafir Quraisy, umrah ditunda kerana dihalang oleh kafir Quraisy. Sebagai imbal balasnya, perjanjian dimeterai oleh umat Islam bersama kafir Quraisy bagi membenarkan umat Islam mengerjakan umrah pada tahun seterusnya.
Tetapi, kekecewaan umat Islam tidak berhenti sampai disini. Allah uji pula dengan perjanjian yang berat sebelah. Antara yang perit untuk diterima ;
1. Umat Islam dilarang masuk dan berumrah pada tahun tersebut. Umrah pada tahun hadapan hanya selama 3 hari dan tanpa membawa senjata
2. Umat Islam di Mekah yang ingin mengikuti rombongan Rasulullah SAW wajib dipulangkan semula.
3. Umat Islam rombongan Rasulullah SAW yang lari kepada orang Mekah, sama ada kepada keluarganya atau murtad, kaum kafir Quraisy tidak perlu kembalikan orang tersebut.
Mengetahui isi perjanjian ini, umat Islam sangat kecewa sehingga tidak menyahut seruan Nabi SAW untuk menyembelih korban dan bertahalul bagi membatalkan ihram. Malahan sahabat baginda, Saidina Umar Al Khattab juga mempersoalkan hak orang Islam yang berada di pihak yang benar. Tetapi Rasulullah SAW dengan nasihat Ummu Salamah pun menunjukkan teladan supaya melaksanakan dahulu arahan yang disabdakan. Para sahabat pun akhirnya mengikuti teladan Rasulullah SAW walau emosi mereka sedih, marah dan kecewa kerana tidak mampu menunaikan umrah dan menegakkan hak umat Islam.
Namun seperti yang kita sedia maklum, Perjanjian Hudaibiyah ini lah permulaan kepada kegemilangan dan kejayaan terbesar umat Islam iaitu peristiwa pembukaan Kota Mekah apabila kafir Quraisy sendiri mengkhianati perjanjian, dan menyerang rakan sekutu Islam.
Para pembaca sekalian, dari peristiwa Perjanjian Hudaibiyah ini, kita dapat melihat sendiri bagaimana Allah SWT mengotakan janjinya dalam surah al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud :
“Diwajibkan atasmu berperang, padahal itu kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
Kita membenci sesuatu kerana tidak seperti yang harapkan, tetapi Allah lebih mengetahui kelebihannya untuk kita. Kita terlalu dangkal ilmunya, terlalu terbatas kefahaman dan penglihatannya untuk mentafsir hikmah Allah SWT dengan sekali pandang. Oleh itu penting untuk kita duduk sebentar, beriman sejenak. Kita ketepikan dahulu apa yang kita suka dan tidak suka. Kemudian kita utamakan apa yang Allah reda dan tidak reda
Semoga Allah menerima segala amal yang kita laksanakan untuk-Nya, serta mengampunkan kita ketika ibadah kita hanya menjadi rutin semata-mata. Tiadalah daya kita untuk kembali memperbetulkan nilai dan tujuan ibadah melainkan Allah lah yang mengizinkan kita untuk sedar akan kekhilafan kita.
Ustazah Siti Nurul Ain binti Sahadon
Ketua Beliawanis PEMBINA Sabah


