Hari Guru yang diraikan setiap tahun seharusnya menjadi medan untuk kita menghargai jasa para pendidik yang telah berkorban tenaga dan masa dalam membentuk generasi bangsa berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Namun dalam suasana penuh penghormatan ini, timbul pula cadangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi membolehkan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). Cadangan ini turut dikaitkan dengan laluan kepada pelajar tahfiz, seolah-olah kedua-dua isu tersebut mempunyai kedudukan yang sama.
Hakikatnya, pelajar tahfiz selama ini tidak pernah dipinggirkan daripada sistem pendidikan negara. Ramai dalam kalangan mereka mengambil SPM dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau menceburi pelbagai bidang kerjaya. Oleh itu, mengaitkan pelajar tahfiz dalam polemik pengiktirafan UEC dilihat tidak tepat dan seakan-akan cubaan untuk meredakan bantahan masyarakat terhadap isu tersebut.
Jika benar cadangan ini lahir daripada kehendak rakyat, mengapa tidak wujud tuntutan besar-besaran daripada para guru, pelajar tahfiz atau masyarakat umum? Ketiadaan desakan sedemikian menunjukkan bahawa majoriti rakyat masih memahami dan menghormati semangat pendidikan kebangsaan sebagai asas perpaduan negara.
Perkara yang lebih membimbangkan, cadangan ini bukan muncul daripada suara warga pendidik atau pelajar yang setia kepada sistem pendidikan kebangsaan, tetapi dilihat lebih banyak digerakkan oleh kelompok tertentu yang mahu agenda mereka diberi pengiktirafan di peringkat nasional.
Sebahagian ahli akademik juga telah menyuarakan kebimbangan kerana langkah tersebut dikhuatiri menjejaskan keadilan terhadap pelajar yang sekian lama mengikuti aliran pendidikan kebangsaan tanpa mengira kaum dan agama. Setiap pilihan pendidikan sememangnya mempunyai implikasi tersendiri, termasuk dari sudut kelayakan ke institusi awam dan peluang dalam perkhidmatan kerajaan.
Persoalan yang turut timbul ialah mengapa terdapat pemimpin daripada kementerian lain yang begitu lantang mempertahankan UEC, sedangkan perkara ini berada di bawah bidang pendidikan dan pengajian tinggi. Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa wujud gerakan tersusun untuk memperkukuhkan agenda tertentu dalam dasar negara.
Sempena Hari Guru ini, marilah kita kembali menghayati roh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tunjang penyatuan rakyat Malaysia. Para guru telah sekian lama mendidik anak bangsa dengan penuh kesetiaan dan pengorbanan demi membina negara yang maju serta harmoni.
Janganlah segala penat lelah dan perjuangan mereka dipandang ringan demi memenuhi tuntutan politik atau kepentingan tertentu.
Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi
Ketua Biro Dakwah ISMA

