Perbahasan tentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan sekadar isu kelayakan akademik tetapi ianya berkaitan keseriusan kita mahu menjaga peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Jika kita tersilap langkah, yang hilang bukan hanya dasar pendidikan, tetapi medium (bahasa) penyatuan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini juga akan putus satu demi satu.
Bahasa Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan. Di sekolah, bahasa inilah yang membolehkan anak Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah Sarawak duduk dalam satu kelas, berbincang, dan memahami antara satu sama lain.
Apabila bahasa itu tidak lagi menjadi bahasa pengantar utama, kita sebenarnya sedang “melepaskan pucuk masing-masing seperti enau dalam belukar”.
Setiap kaum akan berjalan mengikut haluannya sendiri, dan semangat kenegaraan akan makin pudar.
Kebimbangan ini timbul apabila pengiktirafan UEC dibincang tanpa syarat tegas terhadap Bahasa Melayu. UEC pula diajar dalam bahasa Mandarin dengan kurikulum berbeza daripada kurikulum kebangsaan.
Jika sijil ini diiktiraf penuh untuk sektor awam tanpa memastikan pelajar benar-benar menguasai Bahasa Melayu dan Sejarah, mesej yang sampai ialah bahasa Melayu sudah tidak penting lagi. Lama-kelamaan, sekolah kebangsaan akan hilang peranannya sebagai tempat asimilasi kaum.
Kita perlu ingat peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Pembentukan identiti dan perpaduan negara mesti dimulakan dari sistem pendidikan.
Jika dari awal pelajar tidak dibiasakan dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, jangan harap mereka akan benar-benar menghayatinya apabila dewasa kelak. Seperti kata pepatah “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.
Jika kita benar mahukan kesatuan, dasar pendidikan mestilah konsisten meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di hadapan. Perpaduan tidak akan wujud jika sistem pendidikan kita terus berpecah mengikut kaum dan bahasa.
Akhirnya, jika kita biarkan bahasa Melayu cair perlahan-lahan, jangan terkejut apabila generasi akan datang bertanya apa jenis bahasa kita guna di Malaysia ini?
Ustaz Muhammad Nur Bin Selamit
YDP ISMA Cawangan Sandakan


