Setiap kali cuti sekolah tiba, ramai remaja akan ada banyak masa lapang. Dalam dunia hari ini, masa lapang tanpa bimbingan boleh jadi sangat merbahaya.
Hari ini, cabaran remaja bukan macam dulu. Dulu, ibu bapa risau anak keluar rumah. Hari ini, anak duduk dalam rumah pun belum tentu selamat.
Telefon di tangan dan internet tanpa batas. Konten lucah, budaya pergaulan bebas, permainan video melampau, media sosial yang merosakkan pemikiran. Semuanya masuk perlahan-lahan ke dalam jiwa anak-anak tanpa kita sedar.
Akhirnya ramai remaja membesar tanpa arah yang jelas. Sebab itu cuti sekolah bukan sekadar musim berehat, tetapi musim paling kritikal dalam pembentukan jiwa remaja.
Realiti pada cuti sekolah, ramai remaja mula tidur tidak tentu waktu, hidup tanpa rutin, ketagih dengan permainan video dan melepak menjadi kutu embun. Lebih membimbangkan, ada yang mencari “keseronokan” di tempat yang salah kerana kekosongan jiwa dan kurang perhatian.
Oleh sebab itu, cuti sekolah tidak boleh dibiarkan kosong tanpa pengisian. Remaja yang tidak diisi dengan perkara baik, maka akhirnya mereka akan diisi dengan perkara yang melalaikan dan merosakkan.
Bawa mereka dekat dengan masjid. Libatkan mereka dengan aktiviti-aktiviti masyarakat, program-program jati diri, projek kemahiran hidup dan paling penting pastikan rumah ada suasana agama.
Semoga cuti sekolah kali ini bukan sekadar cuti berehat daripada belajar tetapi permulaan lahirnya generasi remaja yang lebih kuat iman, akhlak dan jati diri.
Mohammad Hafiz bin Johar
Pengarah Kelab Remaja ISMA (KRIM) Johor Bahru

