Kita menyambut Aidiladha dengan Ummah menghadapi pelbagai ujian dan cabaran di seluruh dunia. Ujian-ujian ini haruslah diambil pengajaran oleh keseluruhan Ummah, termasuk umat Islam di Malaysia.
Penindasan berterusan di Palestin mendedahkan kepalsuan orde dunia sedia ada, termasuklah kepalsuan undang-undang antarabangsa dan seruan hak asasi manusia. Ini menuntut Ummah untuk sama-sama berganding bahu membangunkan Orde Baru Islam yang membawa kesejahteraan sebenar kepada manusia.
Projek pembangunan seperti ini memerlukan pengorbanan yang tinggi, seperti mana yang telah ditunjukkan oleh penduduk Gaza yang teguh bersama perjuangan. Menjadi tuntutan bagi kita untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan agar sama-sama bersedia untuk mengorbankan kecintaan kita terhadap dunia untuk mencapai ketinggian akhirat.
Umat Islam di negara India yang ditekan kerajaan ekstremis menyerlahkan ketahanan dan kebijaksanaan dalam menghadapi ujian pengorbanan. Tatkala amalan ibadah berkorban ditekan, mereka terus teguh mencari jalan yang membolehkan mereka meneruskan amalan korban. Amat penting agar umat Islam di Malaysia terus menzahirkan syiar agama, menjalankan acara korban dan solat sunat secara terbuka agar Islam tidak ditekan sehingga disorok ke dimensi amalan peribadi.
Setiap pengorbanan Ummah di seluruh dunia memberi pelbagai pengajaran dan inspirasi untuk kita sama-sama ambil pengajaran untuk terus maju ke hadapan. Kesatuan Ummah berdiri atas dasar akidah dan ukhuwwah Islamiah, mengatasi segala hubungan berasaskan kaum, sempadan geografi dan sempadan tinggalan penjajahan. Kesakitan, kelaparan dan kebahagiaan Ummah adalah kesakitan, kelaparan dan kebahagiaan kita semua.
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. Semoga keteguhan pengorbanan Ummah di seluruh dunia sama-sama dihayati dan dicontohi.
Dr. Mohd Eqwan bin Mohd Roslan
Pengarah Komunikasi ISMA

