ALOR SETAR, 15 Jun – Usaha membina generasi muda berteraskan nilai Islam dan akhlak mulia terus diperkasa menerusi penganjuran Kem Cuti Sekolah Superaulad yang diadakan selama dua hari di Teratak Ustaz Fisol, Alor Setar pada 24 hingga 25 Mei lalu.

Program yang menghimpunkan anak-anak daripada komuniti setempat itu dianjurkan sebagai salah satu inisiatif ke arah merealisasikan aspirasi ISMA untuk membina Ummah Fadhilah, bermula daripada pembentukan keluarga dan pembangunan generasi muda yang berilmu, berakhlak serta mempunyai jati diri yang kukuh.
Sepanjang kem berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang disusun berdasarkan silibus NAZIM merangkumi pengisian tarbiah, aktiviti berkumpulan dan permainan berunsur pendidikan yang menggabungkan elemen pembelajaran serta keseronokan. Pendekatan ini bertujuan membentuk sahsiah anak-anak secara menyeluruh dalam suasana yang ceria dan kondusif.
Program tersebut turut membuka ruang yang lebih luas untuk mendekati ibu bapa dan komuniti setempat. Beberapa keluarga telah menyatakan minat untuk terus bersama program-program ISMA, malah terdapat yang mengambil langkah mendaftar sebagai ahli selepas melihat impak positif yang dibawa melalui aktiviti kem tersebut.



Sokongan masyarakat setempat juga jelas terserlah apabila terdapat ibu bapa yang tampil menyumbang makanan kepada para peserta. Selain itu, seorang ibu yang mempunyai anak autisme turut meluahkan penghargaan kerana anaknya diberi peluang untuk menyertai program dan diraikan bersama peserta lain tanpa dipinggirkan.
Dalam masa yang sama, program ini menjadi medan untuk menggembleng tenaga penggerak wanita dan belia sedia ada, di samping menyokong usahawan muslimah tempatan yang terlibat dalam penyediaan keperluan program.
Menurut Pengarah Program Kem Cuti Sekolah Superaulad, Dr Iman binti Nor Ghani percaya bahawa pembinaan Ummah Fadhilah perlu bermula sejak usia muda melalui penanaman nilai Islam, akhlak mulia dan semangat kebersamaan dalam diri anak-anak.
“Generasi yang dibimbing dengan asas yang kukuh hari ini merupakan aset penting dalam melahirkan masyarakat yang sejahtera, prihatin dan mampu menyumbang kepada pembangunan ummah pada masa hadapan,” katanya selepas selesai acara.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua peserta, ibu bapa, tenaga pengajar, sukarelawan dan penyumbang yang telah menjayakan program ini. Semoga segala usaha yang dicurahkan menjadi amal soleh yang berpanjangan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan ummah keseluruhannya.

