KUANTAN, 12 Oktober – PEMBINA IIUM Kuantan Pahang telah menganjurkan program Hiking Panorama yang berlangsung pada 3 hingga 4 Oktober 2026, melibatkan seramai 34 peserta dalam pengisian Mabit dan aktiviti pendakian di Bukit Panorama, Sungai Lembing.
Program dimulakan pada 3 Oktober menerusi pengisian Mabit bertemakan A Night of Purpose, yang memberi ruang kepada peserta untuk bermuhasabah serta memahami kembali tujuan kehidupan sebagai seorang Muslim dan mahasiswa.
Antara pengisian utama ialah forum bertajuk Deen List vs Dean’s List yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Irfan Bin Mohamad Salmi sebagai panel, bersama Ikhwan sebagai pengacara majlis. Forum tersebut mengetengahkan perbincangan tentang keseimbangan antara penghayatan agama dan kecemerlangan akademik dalam kehidupan mahasiswa.
Menurut Dr. Irfan, agama bukanlah penghalang kepada kejayaan akademik, bahkan Islam mengajar umatnya menghargai ilmu, menjaga masa dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Usaha menuntut ilmu juga boleh menjadi ibadah apabila dilakukan dengan niat yang betul, antaranya untuk mendapatkan reda Allah, membantu keluarga dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Ujar Dr. Irfan lagi kecemerlangan akademik perlu dicapai dengan cara yang selari dengan tuntutan agama. Kejayaan bukan sekadar memperoleh keputusan yang baik, tetapi turut bergantung kepada nilai dan cara seseorang mendapatkannya, termasuk menjauhi perbuatan meniru, mengambil hasil kerja orang lain serta melepaskan tanggungjawab kepada ahli kumpulan.
Selain itu, forum turut menekankan kepentingan menjaga amanah dalam kedua-dua aspek kehidupan. Kesibukan akademik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan solat, manakala penglibatan dalam persatuan dan program agama juga tidak seharusnya menyebabkan mahasiswa mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajaran.
Pada 4 Oktober, para peserta meneruskan program dengan aktiviti mendaki Bukit Panorama, Sungai Lembing. Aktiviti tersebut menjadi ruang untuk peserta menghayati keindahan alam, membina ketahanan diri serta mengeratkan ukhuwah dalam suasana yang lebih santai dan mencabar.
Pengarah program, Ribie Amir Rushdan, berharap Night of Purpose dan Hiking Panorama dapat menjadi ruang tarbiah yang mendekatkan peserta kepada Allah, membina kesedaran tentang tujuan hidup serta mengeratkan ukhuwah sesama mahasiswa.
“Melalui perkongsian ilmu dan penghayatan alam, semoga peserta terdorong untuk memperbaiki ibadah, akhlak dan diri, di samping mengejar kecemerlangan akademik. Harapan saya, kebersamaan ini terus disambung melalui usrah dan aktiviti PEMBINA agar kita saling membimbing dan istiqamah dalam kebaikan,” katanya.
Program ini diharapkan dapat memberi kesan berterusan kepada peserta dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kefahaman agama, akhlak dan kesedaran terhadap tujuan kehidupan.


