BANGI, 20 September – Seramai 20 mahasiswa baharu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menyertai Mini Tournament Piala Presiden Pembina UNITEN yang dianjurkan oleh Pembina UNITEN bersempena Program Sambutan Pelajar Baharu (PSPB), Ahad lalu.
Program tersebut menjadi salah satu ruang santunan kepada mahasiswa baharu bagi mengeratkan hubungan sesama pelajar, selain membina suasana kampus yang lebih dekat dengan nilai ukhuwah dan pembentukan jati diri.
Selain aktiviti sukan, peserta turut mengikuti pengisian tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Bilal, yang mengetengahkan kepentingan identiti dan matlamat dalam kehidupan seorang manusia.
Dalam tazkirah tersebut, beliau membawa ibrah daripada kisah seekor anak singa yang dibesarkan bersama sekumpulan biri-biri. Disebabkan dibesarkan dalam persekitaran biri-biri, anak singa tersebut membesar dengan mengikut sifat dan tingkah laku biri-biri, termasuk memakan tumbuhan serta berasa takut apabila berhadapan dengan serigala.
Menurut beliau, keadaan tersebut menggambarkan bagaimana persekitaran dan proses pembentukan seseorang boleh mempengaruhi identiti serta cara seseorang melihat dirinya.
Anak singa tersebut perlu kembali dididik dan dilatih untuk mengenali hakikat dirinya sebagai seekor singa yang mempunyai sifat berbeza daripada biri-biri, termasuk sebagai haiwan karnivor yang memburu dan mampu berhadapan dengan ancaman serigala.
Ibrah tersebut dikaitkan dengan kehidupan manusia yang perlu mempunyai jati diri, identiti dan matlamat yang jelas agar tidak sekadar mengikut arus persekitaran tanpa memahami tujuan kehidupannya.
Mahasiswa turut diingatkan bahawa manusia diciptakan oleh Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi, justeru kehidupan perlu dipandu oleh aturan dan syariat Allah SWT, bukan sebaliknya menurut kemungkaran dan hawa nafsu.
Presiden Pembina UNITEN merangkap Pengarah Program, Amin Najmudin, yang juga merupakan pelajar tahun akhir, berkata program seperti ini akan terus dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni mahasiswa baharu sempena Sambutan Pelajar Baharu (PSPB).
Menurut beliau, lebih banyak program seumpama itu akan diadakan dengan turun mendekati mahasiswa di institusi pengajian tinggi sekitar Bangi.
Mini Tournament Piala Presiden Pembina UNITEN menjadi antara pengisian awal yang menghimpunkan mahasiswa baharu dalam suasana santai, di samping membuka ruang kepada mereka untuk membina jaringan persahabatan dan menerima pengisian yang dapat menyumbang kepada pembentukan diri sepanjang berada di alam universiti.


