Sejak sekian lama, pelbagai bentuk gejala sosial seperti ponteng sekolah, buli, ketagihan gajet, penyalahgunaan media sosial, dan masalah disiplin telah menjadi cabaran utama kepada pihak sekolah dan masyarakat. Meskipun pelbagai usaha dan dasar telah diperkenalkan, isu ini masih berlarutan, malah menunjukkan pola peningkatan yang semakin membimbangkan.
Pelbagai usaha telah dilakukan untuk membangunkan pendidikan negara tetapi pelbagai krisis pendidikan berlaku mutakhir ini. Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan insiden membabitkan seorang pelajar yang dipercayai menikam rakan sekolahnya. Tentunya, pelbagai kritikan dilontarkan terhadap sistem pendidikan negara, tidak kurang juga cadangan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada seperti pembaharuan menyeluruh yang menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan pembentukan sahsiah, moral dan kecerdasan emosi pelajar.
Selain itu, menggalakkan pembabitan lebih aktif ibu bapa dan komuniti dalam membentuk keperibadian pelajar. Begitu juga, cadangan agar langkah progresif dan menyeluruh perlu diambil oleh semua pihak berkepentingan dalam menangani isu salah laku pelajar yang semakin membimbangkan, termasuk kes rogol dan buli yang mencerminkan kelemahan sistem pendidikan serta mekanisme hukuman sedia ada.
Kebanyakan respon menjurus ke arah penambahbaikan dan kritikan terhadap sistem pendidikan sedia ada. Sudah sampai masanya isu pendidikan dan sosial pelajar ditangani secara serius dan menyeluruh. Pendidikan tidak boleh lagi dilihat sekadar sebagai proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, tetapi sebagai usaha membentuk manusia yang tinggi nilai keinsanan yang mengangkat karamah insaniah seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Meskipun pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh kementerian Pendidikan, sekolah dan masyarakat bagi membendung masalah sosial dalam kalangan pelajar, hakikatnya isu ini masih belum menunjukkan perubahan yang ketara. Sistem pendidikan Malaysia tidaklah gagal sepenuhnya, namun sedang berdepan krisis arah dan kepercayaan. Jika dibiarkan, kita berisiko melahirkan generasi yang cemerlang di atas kertas tetapi lemah dalam nilai dan kemahiran hidup sebenar.
Di sini kita wajar meninjau dan berfikir semula tentang falsafah yang mendasari segala halatuju dan sistem pendidikan nasional. Hal ini kerana, apa jua model dan sistem sememangnya terbina di atas landasan falsafahnya yang tertentu. Sistem pendidikan kini dilihat terlalu menekankan pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan aspek penting lain dalam pembangunan sahsiah pelajar. Pendidikan kita menghasilkan pelajar yang mendapat kecemerlangan akademik tetapi pelbagai gejala salah laku pelajar dan keruntuhan sahsiah memberikan isyarat wujud permasalahan yang perlu dirungkai secara lebih mendalam.
Adakah kita benar-benar mandiri dan telus dalam pembinaan falsafah pendidikan kita yang tersendiri mengikut identiti nasional kita? Ataupun di peringkat pelaksanaannya, wujud monopoli pendidikan dan kebergantungan bentuk pendidikan daripada Barat? Walaupun Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) berdiri di atas pembinaan keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek, namun wujud kelompongan di dalam pengaplikasiannya.
Hala tuju dan pelaksanaan pendidikan negara kita ternyata masih lagi bergantung kepada indikator yang ditetapkan oleh badan antarabangsa Barat. Ini terbukti melihat kepada usaha Malaysia yang sangat komited dalam menyelaraskan instrumen SDG termasuk dalam sistem pendidikan. Matlamat pendidikan berkualiti di dalam laporan “Education 2030 in Malaysia” daripada UNICEF menggariskan matlamat SDG pada pendidikan berkualiti pada kemahiran yang menyumbang ke arah pembinaan negara berpendapatan tinggi. Dengan tujuan pendidikan yang menjurus kepada pembangunan ekonomi neo-liberal , maka semestinya ini memberikan implikasi kepada identiti, halatuju serta perancangan pelaksanaan pendidikan di pelbagai peringkat.
Justeru, pendidikan mesti dikembalikan kepada tujuan asalnya iaitu membentuk insan yang berilmu, berakhlak dan berguna kepada negara. Fokus utama pendidikan tidak hanya melihat intipati pendidikan atau penguasaan ilmu semata-mata, tetapi merangkumi kesan yang terhasil daripada proses pendidikan yang dilalui dapat membantu manusia meningkatkan sahsiah ke tahap yang lebih tinggi dan mulia.
Kelebihan, kesempurnaan, corak pemikiran dan tindakan sesebuah masyarakat ditentukan oleh sistem pendidikan yang bakal mencorak sosial, politik, ekonomi, budaya dan agama dan seterusnya membina peradaban. Oleh itu, bagi memastikan pelaksanaan pendidikan yang menyeluruh, falsafah pendidikan dalam sesebuah negara amat penting kerana memainkan peranan sebagai asas dalam menentukan arah tuju, panduan dan bimbingan untuk membentuk perkembangan pelajar secara menyeluruh meliputi dimensi intrinsik dan dimensi instrumental atau sosial.
Dr. Nornajwa binti Ghazali
Badan Pemikir Pendidikan ISMA


