ALOR SETAR, 6 Julai – “Seorang Muslim yang benar-benar memahami agamanya bukan sekadar menunaikan ibadah sebagai rutin harian, bahkan menjadikan setiap ibadah sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan membentuk peribadi yang berakhlak mulia”, kata Tuan Guru Ustaz Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa, Murabbi Ummah ISMA Alor Setar baru-baru ini.
Semasa siri pengajian kitab Apa Ertinya Saya Menganut Islam di kediamannya di Taman Uda, Alor Setar, beliau mengingatkan para pendengar bahawa ibadah merupakan kemuncak pengabdian seorang hamba kepada Allah SWT. Ibadah yang diterima bukan sekadar memenuhi syarat dan rukun, tetapi perlu disertai dengan keikhlasan, kekhusyukan serta penghayatan terhadap kebesaran Allah.
Antara intipati penting yang dikupas ialah keperluan mencapai martabat ihsan dalam beribadah, menghadirkan hati ketika solat, membiasakan amalan-amalan sunat, menghidupkan qiamullail, melazimi bacaan serta tadabbur al-Quran, dan menjadikan doa sebagai amalan yang mengiringi setiap urusan kehidupan. Kesemua amalan ini merupakan asas pembentukan jiwa seorang mukmin yang teguh iman dan istiqamah dalam ketaatan.
Pengajian seperti ini amat signifikan dalam suasana masyarakat hari ini yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akhlak, kekeliruan pemikiran dan tekanan kehidupan.
Pembinaan Ummah Fadhilah perlu bermula daripada pembinaan individu yang memahami Islam secara menyeluruh, menghayatinya dalam ibadah dan seterusnya menterjemahkan nilai-nilai tersebut dalam kehidupan bermasyarakat.
Ustaz Haji Abdul Fisol bukan sahaja dikenali sebagai pendidik dan pendakwah yang istiqamah membimbing masyarakat, malah telah sekian lama menjadi rujukan komuniti sekitar melalui pengajian ilmu, bimbingan kerohanian dan aktiviti kemasyarakatan yang berlangsung di Teratak Pengajian Ustaz Fisol, Taman Uda, Alor Setar.
Selain kuliah mingguan, orang ramai dijemput untuk bersama-sama mengikuti Kuliah Dhuha Harian yang disampaikan oleh beliau di Teratak Pengajian Ustaz Fisol.
Semoga medan ilmu ini terus menjadi pusat penyebaran kefahaman Islam yang sahih serta melahirkan masyarakat yang berilmu, beramal dan berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi membina Ummah Fadhilah.


