Lewat kini, masih ramai yang mengaitkan dominasi politik Melayu-Islam dengan rasuah, salah guna kuasa dan kelemahan tadbir urus. Pada masa yang sama, dominasi parti yang berteraskan fahaman chauvinis atau liberal pula sering digambarkan sebagai lebih demokratik, telus dan lebih baik tadbir urusnya. Betul atau tidak persepsi itu, seolah-olah telah menjadi satu naratif yang mempengaruhi cara masyarakat menilai politik negara.
Bagi saya, antara punca dominasi politik Melayu-Islam sering mendapat persepsi yang buruk kerana budaya pakatan politik yang terlalu longgar dan berasaskan kemenangan semata-mata. Sepatutnya, sesebuah pakatan pilihan raya dibina dengan syarat yang jelas. Sekurang-kurangnya perlu wujud satu bentuk kesepakatan nasional yang menetapkan prinsip-prinsip asas yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak, seperti agenda nasional melebihi agenda parti, mengutamakan kepentingan Melayu Islam dan sebagainya.
Lebih penting lagi, parti-parti sedia ada masih belum meletakkan identiti nasional sebagai prasyarat utama dalam memilih calon dan membentuk kerajaan. Sedangkan identiti nasional itulah yang lahir daripada sejarah, Perlembagaan, institusi negara, budaya dan realiti masyarakat Malaysia. Tanpa kesepakatan terhadap asas ini, politik hanya menjadi pertandingan angka, bukan pertandingan untuk membina negara.
Persoalannya, bagaimana kita mahu melahirkan sebuah negara yang maju, berdaulat dan mempunyai tadbir urus yang berkualiti jika kita sendiri tidak mengambil serius soal identiti nasional yang menjadi akar kepada pembinaan negara? Kemajuan tidak hanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi atau kemenangan pilihan raya. Tetapi, bergantung kepada kekuatan prinsip parti yang menjadi asas kepada kepimpinan dan pentadbiran negara.
Jika parti-parti yang membawa nama Melayu dan Islam benar-benar ingin mengembalikan keyakinan rakyat, mereka bukan sahaja perlu bercakap tentang identiti, tetapi membuktikannya melalui integriti, amanah, kompetensi dan tadbir urus yang cemerlang. Apabila nilai dan prestasi berjalan seiring, barulah persepsi masyarakat dapat diubah.
Ustaz Khairul Fatihin Saedal Atas
Ketua Biro Tarbiyah ISMA Cawangan Nilai


