Pilihan raya adalah kaedah memilih pemimpin. Hal ini menjadi kewajipan besar dalam Islam dan mesti ditunaikan oleh semua. Sistem politik Malaysia membolehkan kewujudan parti-parti politik yang mencalunkan individu dari parti. Maka pemilihan kita mesti selari dengan kehendak syarak. Ada dua aspek penting yang perlu kita lihat. Aspek pertama ialah parti yang dipilih. Aspek kedua adalah calon.
Tidak dapat tidak semestinya, parti yang dipilih ialah parti Melayu Muslim. Begitu juga calon mesti Melayu Muslim pada dasarnya. Oleh kerana negara ada pelbagai kaum dan parti, maka akan wujud penyatuan beberapa parti yang dipanggil tahaluf siasi. Contohnya antara parti-parti Melayu Islam dan parti bukan Islam, maka wajib dalam tahaluf tersebut parti Melayu Islam dominan. Maka tahaluf ini yang mesti dipilih. Sementara calon pula semestinya calon muslim yang berwibawa. Perlu kita faham secara tepat. Islam memerlukan kuasa untuk pelaksanaannya. Semestinya parti yang dipilih ialah parti Melayu Islam dan calon Melayu Islam.
Calon pilihan raya adalah bakal pemimpin umat. Menjadi kewajiban ke atas setiap muslim memilih calon Melayu muslim yang berakhlak dan bertanggungjawab. Pemimpin yang mampu melaksanakan tanggungjawab terhadap agama dan umat. Fokus peribadi calon amat penting selepas pemilihan parti bahkan dalam situasi politik Malaysia calon yang mendampingi rakyat.
Pemimpin yang tahu amanah dan tanggungjawab, mereka hidup bersama rakyat dan tahu apa keperluan rakyat. Pemimpin yang ada agenda untuk menjaga agama dan negara serta ada halatuju yang jelas samada jangka pendek atau jangka panjang.
Biasanya rakyat lebih mengenali siapa yang layak tetapi kadang-kadang rakyat tertipu dengan janji kempen mereka dalam tempoh dua minggu kempen.
Sepatutnya, sudah lama rakyat menolak pemimpin yang telah terpalit dengan pelbagai isu dan skandal buruk yang tidak bermaruah. Negara kita bukan kekurangan bakal pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab tetapi kerana kelicikan kelompok ini membersihkan diri dikala menjelang pilihan raya, rakyat mudah tertipu kerana mereka menutup keburukan melalui parti-parti yang disertai.
Faktor pemimpin kitar semula yang sudah tidak berkelayakan bahkan telah gagal dalam kepimpinan tetapi masih ghairah untuk berkuasa dan mengumpul harta antara faktor generasi muda tidak berminat dalam politik selain dari kesedaran politik yang rendah.
Sebab itu peratus generasi muda keluar mengundi agak rendah dan mungkin akan semakin menurun. Mereka merasakan keterlibatan dalam politik sia-sia hanya untuk mempertahankan pemimpin yang sudah lapuk dan gagal.
Suasana politik negara kita seolah-olah ketandusan tokoh pemimpin yang baik. Kitar semula pemimpin yang sudah terlibat dengan pelbagai salahlaku dan keburukan masih diangkat dan dijulang konon-kononnya mereka sahaja yang layak untuk dilantik sebagai pemimpin melalui penonjolan baik menjelang pilihanraya. Inilah fenomena yang berlaku menjelang setiap kali pru atau prn.
Kita mengharapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, rakyat perlu matang untuk menilai siapa yang layak memimpin mereka. Kita sudah melalui pru sebanyak 15 kali, sepatutnya kita sudah matang untuk memilih pemimpin yang amanah, berakhlak dan bertanggungjawab.
Ustaz Sharipudin Ab Kadir
Penasihat Politik dan Perundangan ISMA


