Menyambung perjuangan mengisi kemerdekaan yang telah mencapai usia 69 tahun pada 2026, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) meneruskan usaha membangunkan kesedaran masyarakat terhadap erti sebenar kemerdekaan melalui Kempen Kemerdekaan 2026 yang bertemakan “Kuala Lumpur: Nadi Peradaban Ummah.”
Bagi ISMA, kemerdekaan ialah keberanian membina masa depan negara berdasarkan sejarah, identiti dan neraca kita sendiri. Sesebuah bangsa hanya benar-benar merdeka apabila mampu membangunkan negara mengikut acuan yang lahir daripada nilai dan cita-citanya sendiri.
Atas asas itu, Kempen Mereka ISMA tahun ini mengangkat Kuala Lumpur sebagai titik tumpuan, ibu negara yang sentiasa menjadi wajah kepada sesebuah negara. Apa yang berlaku di Kuala Lumpur hari ini akan membentuk arah pembangunan Malaysia pada masa hadapan.
Dari aspek sejarah, Kuala Lumpur yang diasaskan oleh Raja Abdullah berkembang daripada sebuah penempatan di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak sebelum muncul sebagai pusat pentadbiran, perdagangan dan pembangunan negara.
Perkembangannya turut dipacu oleh sumbangan pelbagai lapisan masyarakat, terutama institusi Melayu dan Islam yang membentuk identiti awal bandar ini. Namun dalam arus pemodenan, sebahagian naratif sejarah tersebut semakin kurang diberikan perhatian, sekali gus menghakis kefahaman masyarakat terhadap sejarah pembentukan Kuala Lumpur.
ISMA turut gusar, keadaan masyarakat Melayu-Islam di Kuala Lumpur pada hari ini semakin terhimpit akibat tekanan pembangunan bandar yang mengubah landskap penempatan, menghilangkan nama dan identiti asal tempat-tempat yang mempunyai nilai sejarah serta menghakis warisan budaya yang membentuk wajah asal ibu negara.
Perubahan ini turut menghakis ekosistem kehidupan Islam yang dibina atas asas keluarga, masjid, budaya ilmu dan semangat kejiranan. Kehidupan bandar yang semakin individualistik menyebabkan hubungan sesama masyarakat dan tanggungjawab sosial semakin longgar, sekali gus melemahkan penghayatan nilai-nilai syariah seperti ukhuwah, amanah, ihsan dan ta’awun. Jika dibiarkan berterusan, Kuala Lumpur bukan sahaja berisiko kehilangan identiti sejarahnya, malah turut kehilangan roh sebuah kota yang dibangunkan atas asas Peradaban Ummah.
ISMA menegaskan, masa depan Kuala Lumpur perlu dibangunkan berasaskan identiti asalnya sebelum era penjajahan melalui usaha meneruskan proses dekolonisasi pasca kemerdekaan, memelihara hak dan keberadaan masyarakat Melayu-Islam sebagai masyarakat asal Kuala Lumpur, memperkukuh kedudukan Islam sebagai asas pembinaan masyarakat, serta memastikan pembangunan bandar berlangsung berteraskan acuan tempatan yang membina peradaban, bukannya dipengaruhi definisi asing atau budaya yang bercanggah dengan nilai masyarakat Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada Kempen Kemerdekaan 2026, ISMA akan menganjurkan tiga inisiatif utama iaitu :
1. Pelancaran Suara Komuniti Kuala Lumpur, yang menghimpunkan aspirasi dan cadangan warga kota untuk diserahkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur
2. Penganjuran KL Ideas, sebuah forum yang menghimpunkan ahli akademik, profesional, NGO, pemimpin masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan hala tuju serta masa depan Kuala Lumpur
3. Pelancaran Muzium Peradaban Malaysia Virtual, sebuah platform digital yang mendokumentasikan sejarah, warisan dan identiti peradaban negara sebagai sumber rujukan dan pendidikan kepada masyarakat.
Di peringkat akar umbi, 46 cawangan ISMA di seluruh negara turut menjalankan pelbagai program komuniti seperti dialog kejiranan, gotong-royong, ziarah masyarakat, aktiviti keluarga, diskusi ilmu, projek sukarelawan dan kempen kesedaran yang mengangkat nilai sejarah, identiti dan semangat hidup bermasyarakat. Keseluruhan inisiatif ini merupakan usaha ISMA untuk memperkukuh sejarah, menggerakkan penyertaan masyarakat dan menyumbang idea serta tindakan konstruktif ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai Nadi Peradaban Ummah serta menginspirasikan pembangunan bandar-bandar lain di Malaysia.
Bagi menjayakan kempen ini, ISMA turut bekerjasama dengan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) serta menyeru kepada mana-mana pihak, organisasi, syarikat atau individu untuk bersama-sama menyokong kempen ini dalam usaha mengembalikan identiti dan wajah sebenar ibu negara Malaysia iaitu Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR, NADI PERADABAN UMMAH.
Ustaz Shuhaib Ar-Rumy bin Selamat
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
6 Ogos 2026

